RM50 e-dompet untuk 15 juta rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui ePenjana akan mengkreditkan RM50 kepada setiap pengguna e-dompet dengan kos keseluruhan melibatkan RM750 juta.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ianya bertujuan bagi menggalakkan pembayaran tanpa sentuh atau cashless yang kini menjadi norma baharu dalam kehidupan masyarakat.

Inisiatif tersebut akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-dompet.

Advertisement

Sebanyak 15 juta rakyat Malaysia dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun serta berusia 18 tahun ke atas akan menerima manfaat tersebut yang dijadualkan akan diterima bermula Julai ini.

“Dalam menjalani kehidupan norma baharu, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh atau contactless payment.

“Untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini, melalui Program ePenjana yang bernilai RM750 juta, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

“Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet. Inisiatif ini yang akan bermula pada bulan Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan Penjana berpandukan tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi. – HARAKAHDAILY 5/6/2020