Pak Subky yang telah pergi

SAYA dengar nama Pak Subky Latif semenjak sekolah rendah. Arwah bapa pernah menyimpan buku Pak Subky bertajuk Suka-duka politik Tun Razak yang ditulis pada tahun 1976. Begitu juga buku ‘Siapa selepas Tun Razak yang ditulis bersama Harun Hassan (1975). Saya juga mengikuti tulisan dan pandangan Pak Subky melalui akhbar Watan ketika itu. Saya minat membaca komentar politiknya mulai sekolah rendah itu.

Pak Subky pernah bertanding di Parlimen Kemaman, tempat saya tinggal ini pada tahun 1982. Ketika itu saya bersekolah menengah berasrama penuh di Sekolah Alam Shah, Cheras. Tentu sahaja tidak dapat pulang dan melihat perkembangan. Beliau kalah kepada Ismail Said dari BN. Beliau bertanding sebanyak 6 kali di 6 kawasan Parlimen menghadapi 6 calon lawan berbeza termasuk Tun Mahathir. Beliau kalah dalam semua pilihan raya, tetapi tidak pernah kalah dalam perjuangan.

Pak Subky pernah menerima anugerah Tokoh Istiqamah 2017 sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-63 di Kedah. Alhamdulillah, anugerah itu tepat kepada orangnya yang terus istiqamah hingga ke akhir hayat dalam perjuangan bersama bahtera PAS, walaupun gelombang besar, ombak kuat dan badai ganas menerjah kepada perjuangan ini.

Advertisement

Tulisan dan sumbangan beliau akan terus hidup, sekalipun jasadnya telah mati. Pena untuk menegakkan agama tidak sama dengan pena untuk menentang agama dan memfitnah terhadap pembawa agama.

Saya yakin setiap orang, terutama pimpinan tertinggi PAS ada pengalaman menarik bersama beliau. Saya cadangkan Lajnah berkaitan di peringkat PAS Pusat membukukan atau mendokumentasikan pengalaman bersama Pak Subky ini selaku pengerusi As-Sabiqun yang sudah mendahului kita.

Tulisan, buku, pengalaman politik beliau sangat banyak. Tentulah tulisan dari seorang yang kerdil ini tidak ada apa-apa berbanding dengan sumbangannya.

Moga Allah tempatkan rohnya bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 23/6/2020