Penoreh boleh tuntut IPG melalui aplikasi RRIM Niaga

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan dalam menyokong harga getah pada kadar RM2.50 sekilogram membantu mengurangkan kegusaran penoreh getah berikutan harga getah yang merundum di seluruh pasaran dunia pada harga RM1.60.

Advertisement

Kini, penoreh getah boleh menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) melalui aplikasi Lembaga Getah Malaysia (RRIM) Niaga.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tuntutan tersebut boleh dilakukan secara langsung melalui aplikasi tersebut.

“Terkini aplikasi RRIM Niaga yang diperkenalkan kepada peraih untuk pembelian getah daripada penoreh menjadikan segala data tuntutan IPG sampai terus kepada LGM untuk dibuat bayaran terus ke akaun penoreh tanpa perlu penoreh menghantar borang tuntutan lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Bahkan beliau menyarankan penoreh getah agar bertukar kepada susu getah yang berharga lebih tinggi.

“Apa yang boleh dibuat oleh penoreh pula ialah bergerak kepada pengeluaran susu getah (Lateks) yang berharga lebih tinggi iaitu lebih RM4 perkilogram,” jelasnya.

Beliau menambah, kementeriannya kini sedang giat dalam merangka strategi untuk menggalakkan torehan susu getah Lateks serta memudahkan urusan jual beli susu getah tersebut.

Malah, strategi jangka masa panjang konsep Ladang Komuniti Getah sedang diperkenalkan dan perinciannya akan diumumkan tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 24/6/2020