Air mata keluarga Adib masih belum kering

Yakin hanya kesungguhan kerajaan baharu bantu kes hingga selesai

KUALA KEDAH: Pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim menjadi kehilangan amat dirasai keluarganya yang begitu mengharap agar para pelaku penyebab wira negara itu terkorban supaya diadili.

Advertisement

Hingga kini, air mata masih tertumpang basah mengenang tiada lagi senyum riang dan khidmat bakti anak ketiga dari lima beradik itu yang pergi buat selamanya pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa.

Ayah arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid menyatakan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata perasaan dialami keluarganya dan sememangnya amat tidak berpuas hati selagi pelaku tragedi tidak dihadapkan ke muka pengadilan.

HarakahDaily ditemani Penolong Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Fadzil Ramli menemui beliau di kediaman keluarga itu di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini hari ini.

Luah Mohd Kassim, beliau kesal kerana proses siasatan selanjutnya berlangsung agak perlahan walaupun Mahkamah Koroner telah memutuskan hasil inkues kes tersebut pada 29 September tahun lalu.

Dalam pengetahuan beliau, selepas keputusan yang mengesahkan arwah Adib menjadi mangsa perusuh, pihak polis belum melanjutkan siasatan kerana bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas masih tidak mengeluarkan arahan.

Pun begitu katanya, Peguam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Ahmad Taufiq Baharum yang memberi khidmat perundangan mewakili keluarga itu banyak mengemaskini maklumat semasa.

Menurut beliau, sebagaimana difahamkan kepadanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan telah memberi komitmen untuk pengadilan kes dilangsungkan selanjutnya.

“Harap bawah pemerintah (kerajaan) baharu ini (perbicaraan) kes akan berjalan sungguh-sungguh. Harapan keluarga tu moga pesalah dibawa ke mahkamah. Selagi tak bicarakan, rasa tidak puas hati,” tutur Mohd Kassim lembut.

Dalam luahan yang nampak mencengkam perasaannya itu, beliau meyakini pembelaan sebenar kepada arwah Muhammad Adib hanya akan didapati jika pihak kerajaan hari ini bersungguh-sungguh terhadap kes tersebut.

Beliau turut melahirkan harapannya kepada pasukan peguam pembela dari LUHAM dipimpin Ahmad Taufiq yang banyak membantu serta pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat atas perhatian kepada keluarganya. – HARAKAHDAILY 25/6/2020