Hadis: Materialism, Pragmatism, Realism dan Neo Realism

HADIS Nabi S.A.W:

Advertisement

عن عَمْرَو بْنَ عَوْفٍ وَهُوَ حَلِيفٌ لِبَنِي عَامِرِ بْنِ لُؤَيٍّ كَانَ شَهِدَ بَدْرًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ إِلَى الْبَحْرَيْنِ يَأْتِي بِجِزْيَتِهَا وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هُوَ صَالَحَ أَهْلَ الْبَحْرَيْنِ وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ فَقَدِمَ أَبُو عُبَيْدَةَ بِمَالٍ مِنْ الْبَحْرَيْنِ فَسَمِعَتْ الْأَنْصَارُ بِقُدُومِهِ فَوَافَتْهُ صَلَاة الصُّبْحِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا انْصَرَفَ تَعَرَّضُوا لَهُ فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ رَآهُمْ وَقَالَ أَظُنُّكُمْ سَمِعْتُمْ بِقُدُومِ أَبِي عُبَيْدَةَ وَأَنَّهُ جَاءَ بِشَيْءٍ قَالُوا أَجَلْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَأَبْشِرُوا وَأَمِّلُوا مَا يَسُرُّكُمْ فَوَاللَّهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنْ أَخْشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمْ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا وَتُلْهِيَكُمْ كَمَا أَلْهَتْهُمْ

“Diriwayatkan daripada ‘Amar bin ‘Auf – dia adalah sekutu kepada bagi Bani ‘Amir bin Lu’ai – Beliau turut serta dalam peperangan Badar bersama Rasulullah S.A.W. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W telah mengutuskan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah ke Bahrain untuk membawa pulang jizyahnya. Rasulullah S.A.W telah menerima perdamaian penduduk Bahrain dan telah melantik ‘Alaa’ bin al-Hadrami untuk menjadi penguasa mereka. Abu Ubaidah pun pulang membawa harta dari Bahrain dan kepulangannya itu didengar oleh orang-orang Ansar. Kebetulan ia berlaku pada waktu sembahyang Subuh bersama Rasulullah S.A.W. Bila Rasulullah S.A.W selesai mereka pun tampil ke hadapan lalu tersenyumlah Rasulullah S.A.W ketika melihat mereka itu dan berkata: “Saya rasa kamu telah mendengar mengenai kedatangan Abu ‘Ubaidah dan dia ada membawa sesuatu”. Mereka menjawab: “Betullah itu wahai Rasulullah.” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kalau begitu terimalah berita gembira dan berharaplah terhadap apa yang akan menggembirakan kamu. Demi Allah bukan kefakiran yang aku bimbangkan kepada kamu. Tetapi aku bimbang diperluaskan dunia kepada kamu sepertimana telah diperluaskan kepada orang-orang sebelum kamu. Maka kamu berlumba-lumba mendapatkannya seperti mana mereka berlumba-lumba mendapatkannya dan dunia akan melalaikan kamu seperti mana ia telah melalaikan mereka.”

(Riwayat Imam Bukhari)

Materialism

(1) Hadis panjang yang saya nukilkan di atas menggambarkan betapa khuatirnya Baginda S.A.W terhadap harta, pangkat dan apa sahaja yang berkaitan dengan keduniaan. Nabi suarakan kerisauan ini kepada Sahabat-sahabat Baginda S.A.W.

Nabi S.A.W tidak risaukan kefakiran yang melanda Umat Islam. Akan tetapi yang dibimbangi sekiranya ‘dunia itu dibentang’ di hadapan mata Umat Islam, lantas mengheret Umat Islam se’pattern’ dengan perangai golongan terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah S.W.T.

(2) Keduniaan telah mengheret golongan terdahulu kepada kancah perlumbaan mengejar pangkat. Mereka yang kuat melobi, mengampu dan paling kuat mengipas akan cepat naik. Ditambah pula wujudnya kabel.

Keduniaan sangat berkaitan dengan Materialism. Materialism adalah satu pemikiran yang mengukur segala-galanya dengan ukuran jirim. Para Materialis menganggap bahawa perkara yang benar-benar ada, adalah material.

(3) Mereka menganggap semua kewujudan ini adalah material semata-mata. Kewujudan material ini mempunyai difahami dengan kewujudan objeknya tersendiri, iaitu terasing daripada pemikiran dan gambaran dalam minda, berbeza dengan imaginasi.

Maka, dengan ini Materialism dengan mudahnya menolak kewujudan Allah S.W.T. Suasana, warisan, kaedah fizik, kehidupan berpolitik, kemasyarakatan, ekonomi secara khusus dan sebagainya merupakan faktor yang dianggap memberi kesan dalam kehidupan manusia.

(4) Secara mudahnya Materialism adalah fikiran kebendaan. Semuanya diukur dengan kebendaan. Kemewahan, kejayaan, keuntungan, kemenangan, kekalahan dan segalanya dilihat dari aspek kebendaan.

Melihat kebendaan itu adalah segala-galanya. Bahkan kejayaan seseorang, kebahagiaan dan kesihatan seseorang juga diukur dari sudut kebendaan. Mereka terikat dengan sempadan material yang membataskan mereka untuk menyaksikan kebesaran Allah dan kewujudan akhirat.

Pragmatism dan Neo Realism

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai sejarah bangsa-bangsa terdahulu yang terbelenggu di dalam ikatan Materialism. Mereka membina tamadun mereka dengan penuh keberhalaan dan mengejar kepentingan. [1]

Dalam hal ini, saya tertarik dengan tulisan Arthur O. Lovejoy di dalam The Journal of Philosophy yang diterbitkan pada 5 Januari 1922. Tulisan beliau bertajuk Pragmatism and the New Materialism dimuatkan dalam 10 halaman sahaja. [2]

(2) Anastasia [3] menyatakan bahawa Pragmatism boleh difahami dengan teori yang menekankan kesan-kesan praktikal suatu idea dan fungsinya terhadap tindakan. Falsafah Pragmatisme mula dirintis di Amerika pada akhir abad ke-19.

Scheffler [4] menyatakan bahawa falsafah ini mencerminkan pandangan hidup penduduk Amerika termasuklah bidang pendidikan. Ia dilihat menyatukan pelbagai percanggahan pada ketika itu, contohnya percanggahan di antara sains dengan agama dan intuisi berbanding Empirisme.

(3) Arthur O. Lovejoy menyatakan “Pragmatisme Amerika sering menunjukkan kecenderungan untuk bergabung dengan Behaviorisme dan Neo-Realisme dalam kempen mereka menentang kepercayaan terhadap realiti entiti fizikal.”

Dalam tulisan Arthur O. Lovejoy beliau cuba mendiskusikan tulisan Professor B. H. Bode dalam tulisannya yang bertajuk ‘Creative Intelligen’ yang turut mengaitkan perbincangan mengenai Neo-Realism, fungsi akal yang terbina atas pengalaman dan sebagainya.

(4) Tulisan Arthur ini sebagai gambaran bahawa betapa Barat itu begitu memperincikan perbahasan ini secara panjang lebar, sarat dengan kritikan itu dan ini. Saya tidak berniat untuk memanjangkan lagi perbahasan peringkat Barat ini.

Kesan Neo Materialism boleh dilihat melalui sikap Pragmatism yang sememangnya diamalkan secara individu ataupun di peringkat global yang boleh dikaji melalui Neo-Realism yang lebih mementingkan dan mengutamakan negara sendiri

Pragmatism dan pengalaman

(1) Sama ada Realism, Neo-Realism, Materialism, Neo-Materialism atau Pragmatism kesemuanya dilihat bersangkutan dengan Hadis Nabi S.A.W yang saya lontarkan di awal tadi. Di semua peringkat sepertimana yang disusun oleh Kenneth Waltz. [5]

Beliau membahagikan struktur kepada tiga tahap analisis iaitu individu, negara dan masyarakat serta sistem Antarabangsa. Dalam sistem Antarabangsa yang bersifat anarki, setiap negara lebih mementingkan keperluan negara sendiri daripada negara lain.

(2) John Dewey antara ‘penganut’ falsafah Pragmatism mempunyai sejarah panjang terkesan dengan Charles S. Peirce (1839-1942), William James (1842-1910) bahkan terkesan juga dengan Hegel (1770-1831) dari Jerman.

Ringkasnya, ‘pengalaman’ merupakan asas terpenting Pemikiran Pragmatisme versi John Dewey. Beliau menyatakan dalam buku Experience and Education (1938) mengenai 2 prinsip asas memahami ‘pengalaman’.

“Prinsip kesinambungan pengalaman (continuity of experience/experiential continuum). Prinsip ini membawa maksud semua pengalaman lampau diambil untuk mengubah pengalaman-pengalaman masa depan.”

(3) Kita perlu jelas bahawa konsep yang dibawa oleh Nabi S.A.W di dalam Hadis di awal tadi, berkonsepkan wahyu. Iaitu wahyu daripada Allah S.W.T yang menceritakan perangai orang-orang terdahulu yang berlumba-lumba untuk merebut dunia.

Tetapi Dewey menterjemahkan hal ini dengan konsep ‘pengalaman’. Ya kita sedar bahawa pengalaman itu terbatas kepada seorang individu sahaja. Sedangkan apa yang diwahyukan oleh Allah S.W.T adalah dari Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Secara realitinya, mengejar habuan dunia dibahaskan oleh ahli falsafah Barat sebagai satu fahaman. Pragmatism dan Neo Realism melihat dari sudut kepentingan menjaga periuk nasi. Materialism pula melihat dari sudut ‘benda’.

Ikut cara Islam

(1) Umat Islam perlu menyelamatkan diri mereka daripada penyakit pemikiran yang saya senaraikan tadi. Membetulkan fikrah mereka atas dasar Islam, bukan kepentingan individu, atau demi memilihara periuk nasi sendiri sahaja.

Kita boleh lihat dari sudut individu yang mengejar jawatan demi poketnya. Kita juga menyaksikan individu yang mengejar kekayaan dunia demi memelihara kelangsungan kedudukan politiknya. Kita juga menyaksikan negara-negara berperang dan dasar luar yang ‘mencari pasal’.

Semua realiti ini sekitar perbincangan mengenai pemikiran yang saya lontarkan di atas. Manakala Islam membincangkan dari sudut penyakit hati, sama ada individu secara peribadinya, atau pemerintah negara yang berkepentingan.

(2) Antara yang dinyatakan dalam buku The Globalization of World Politics (2008), negara sebagai aktor utama melibatkan diri dalam berjuang untuk mendapatkan kuasa, mengimbangi kuasa pihak lain dan membuat tindakan menurut kepentingan nasional masing-masing.

Selain itu, negara juga digambarkan sebagai aktor yang menginginkan keadaan selamat baginya sehingga mendorongnya untuk mendapatkan kuasa untuk kelangsungannya, selaras dengan konsep Neo-Realism di peringkat Antarabangsa.

(3) Di dalam Islam, Allah S.W.T bukan berjisim. Kemenangan yang dijanjikanNya tidak disebutkan tarikh-tarikhnya. Menjadikan aqidah itu tidak terbina atas dasar Materialism. Perlu keluar daripada Materialism untuk mengenali Tuhan.

Dalam Islam, diajar dengan ikhlas, berkorban dan sebagainya. Mengenepikan kepentingan peribadi untuk kemaslahatan umum. Secara tak langsung ia bercanggah dengan beberapa elemen dalam Pragmatism dan Realism.

Dalam Islam diajar supaya meletakkan Allah S.W.T sebagai matlamat, bukannya kepentingan individu yang memerintah negara secara Neo-Realism. Sebab itulah kita perlu membersihkan diri daripada pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan fikrah Islamiah.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3027297643978642/?d=n

[2] Sila pm untuk dapatkan pdf

[3] Anastasia Jessica Adinda S. buku Menelusuri Pragmatisme Pengantar pada Pemikiran Pragmatisme dari Peirce Hingga Habermes tahun 2015

[4] Dalam buku Four Pragmatists. A Critical Introduction to Peirce, James, Mead, and Dewey.

[5] Theory of International Politics 1979

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 25/6/2020