UMMAH kecam tindakan Al-Jazeera

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menentang keras tindakan Al-Jazeera yang memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, dokumentari yang disiarkan oleh berita Al-Jazeera melaporkan Malaysia mendiskriminasikan warga asing dengan memberi layanan yang tidak setaraf dengan warga tempatan dalam mengekang wabak Covid-19.

“Dokumentari yang dibuat oleh Al-Jazeera memaparkan fakta yang salah dan memberikan gambaran negatif bahawa kerajaan Malaysia adalah anti PATI (pendatang tanpa izin) dan bersikap tidak berperikemanusiaan,” bidasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata, pihak Al-Jazeera sengaja menimbulkan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah terhadap pengurusan Malaysia dalam mengekang pandemik tersebut.

Mohd Zai menambah, segala persepsi yang sengaja diada-adakan oleh berita Al-Jazeera berkenaan isu ini adalah palsu semata-mata kerana cara negara mengendalikan pandemik ini adalah antara cara yang terbaik di dunia dan mampu dijadikan contoh kepada negara lain.

“Cara Malaysia menguruskan penularan pandemik COVID-19 adalah yang terbaik di dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Sepatutnya ini yang didokumentarikan kerana Malaysia telah menyumbang satu contoh penyelesaian yang bijak dan boleh dicontohi oleh negara lain tapi bukan sebaliknya.

Katanya, setiap negara terdapat undang-undang dalam kemasukan setiap warga negara asing ke dalam negara itu termasuklah Malaysia.

Sehubungan itu, peraturan yang sedia ada haruslah dipatuhi malah PATI diberikan layanan sama rata dalam merawat dan menyembuhkan.- HARAKAHDAILY 8/7/2020