Hayati prinsip Rukun Negara – PM

KUALA LUMPUR: Prinsip Rukun Negara mesti diingati dan dihayati oleh semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama kerana ia merupakan asas kepada identiti diri serta penyatuan sebagai bangsa Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbezaan ras dan warna kulit bukan penghalang untuk masyarakat bersatu hati sebagai satu bangsa yang berpegang kepada prinsip kenegaraan yang sama dan berbangga menjadi warga kepada sebuah negara yang aman, makmur serta harmoni.

Advertisement

Bagaimanapun, katanya menyedari bahawa proses pembinaan negara bangsa yang bersatu padu lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, bukan mudah.

“Namun, berkat kebijaksanaan dan kecekalan rakyat yang terdiri daripada semua kaum telah berjaya mengatasi halangan, ketepikan perbezaan dan persengketaan yang wujud dalam masyarakat.

“Kita pupuk semangat persefahaman dan perpaduan sesama kita, akhirnya perbezaan kaum, agama, wilayah dan status sosial tidak menjadi penghalang untuk hidup secara aman dan harmoni di negara ini. Ini merupakan mencapaian yang perlu dibanggakan.

“Maka, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara yang mempertautkan seluruh rakyat Malysia dalam suatu semangat dan nilai perpaduan yang jitu, marilah perteguhkan iltizam untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara bertempat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Jelas Muhyiddin, pencapaian masa lalu perlu dijadikan panduan untuk mengharungi masa hadapan yang lebih mencabar dengan dunia tanpa sempadan dan kemajuan pesat dalam teknologi maklumat yang seringkali menguji tahap perpaduan dan keharmonian rakyat.

Meskipun begitu, sekiranya prinsip rukun negara diamalkan sebaik mungkin, ia dapat mengelakkan daripada wujudnya tindakan oleh menyinggung perasaan anggota masyarakat lain.

“Bukanlah sukar untuk menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara. Yang penting perlu ada kesedaran untuk sentiasa mengeratkan perpaduan dan memelihara keharmonian masyarakat menerusi amalan prinsip dan nilai murni yang terkandung dalam rukun negara.

“Prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa diamalkan dalam masyarakat dan diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain,” ujarnya.

Susulan daripada itu, Muhyiddin mencadangkan supaya pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara menerusi pelbagai program, inisiatif dan aktiviti di bawah kementerian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.- HARAKAHDAILY 9/7/2020