Kita serahkan semua kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi prinsip PAS, seseorang itu tidak bersalah sehingga beliau dibuktikan bersalah, jelas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung satu laporan yang menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan baru-baru ini.

Advertisement

Jelasnya, PAS sangat mengalu-alukan SPRM untuk menyiasat apa sahaja kes berhubung penyalahgunaan kuasa dan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang.

Hal ini kerana, PAS sudah lama mengimpikan sebuah kerajaan yang pentadbirannya telus dan bebas tanpa mengira parti mana, atau sesiapa yang memimpin kerajaan Malaysia di waktu itu.

“Isu berkaitan dengan penahanan apa-apa kes, sama ada kes jenayah ataupun isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa, prinsip kita PAS ialah, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Jadi, siasatan tidak semestinya seseorang itu sudah bersalah. Kita mengalu-alukan pihak berkuasa untuk menyiasat, dan yang menentukan seseorang itu bersalah ialah mahkamah.

“Kita mengalu-alukan SPRM untuk menyiasat apa sahaja kes yang berkaitan dengan salah guna kuasa dan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira siapa yang berkuasa.

“Kerana kita mahukan satu pentadbiran yang telus, yang bebas, tidak kiralah daripada kerajaan PN, PH, atau BN. Itu prinsip kita sejak daripada dulu,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, atas sebab itulah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) dan Menteri Besar Kelantan hari ini sentiasa membuka pintu dan ruang untuk mana-mana pihak menyiasat kerajaan negeri itu.

Katanya, ini kerana PAS mengamalkan konsep yang sangat terbuka dengan membuka pintu 24 jam sehari semalam kepada SPRM sekiranya badan berautoriti itu mahu menyiasat apa-apa jenayah termasuk salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah di Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu dilaporkan, SPRM telah menahan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih 65 juta.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek itu sekitar Ogos 2019. – HARAKAHDAILY 10/7/2020