MH17: Malaysia komited tegakkan keadilan

PUTRAJAYA: Semalam, genap enam tahun insiden tragis pesawat Malaysia Airlines MH17 dan Malaysia mengulangi komitmennya sebagai sebahagian daripada Pasukan Siasatan Bersama (JIT), untuk proses kehakiman yang dilakukan dengan telus agar keadilan ditegakkan.

Advertisement

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagi memperingati insiden pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Malaysia menyeru semua negara dan pihak untuk bekerjasama sepenuhnya terhadap siasatan selaras dengan Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Penyiasatan dan perbicaraan untuk menuntut keadilan tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja atau tunduk kepada tekanan politik oleh mana-mana pihak atau negara.

“Hanya proses undang-undang yang menyeluruh dan mendalam dalam membawa pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan, dapat mengembalikan kehormatan kepada mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Wee berkata Malaysia kekal bersatu padu dengan keluarga 298 mangsa MH17 termasuk 43 penumpang Malaysia dan kru penerbangan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik ketika perbicaraan di mahkamah.

“Malaysia tetap tidak berputus asa dalam komitmennya mendapatkan pembelaan buat ahli keluarga dan orang tersayang. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, MH17 sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ketika ditembak jatuh di timur Ukraine. – BERNAMA