MPKK tidak sesuai di Sarawak

RAKYAT Sarawak amat menitik beratkan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan sosial ekonominya. Ia juga banyak dipengaruhi oleh polisi yang menyokong ke arah perpaduan kaum. Kini, cabaran dua entiti dari parti berbeza antara Kerajaan Pusat dan Sarawak akan menjadikan negeri ini tersepit kerana di sebalik polisi yang dibuat, berkemungkinan bermotifkan politik kepartian.

Advertisement

Cadangan supaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dilaksanakan di Sarawak merupakan salah satu polisi yang perlu mempunyai interaksi yang baik di antara kedua-dua kerajaan. Jika tidak, banyak masalah percanggahan yang semestinya akan berlaku dan rakyat adalah mangsa korban. Fungsi Ketua Kampung, Penghulu, Kaunselor dan pelbagai jawatan yang diwujudkan dalam komuniti masyarakat seharusnya sudah memberi manfaat yang baik kepada rakyat. Campur tangan atau tangan ghaib dari “Federal” bukanlah perkara baru di negara kita. Ianya semakin meruncing sekiranya parti yang memerintah negeri berbeza dengan parti yang berkuasa di peringkat Pusat. Ini sudah lama terjadi kepada Negeri Kelantan yang dianak tirikan sehinggalah sekarang.

Tujuan pentadbiran iaitu untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat adalah objektif utama sesebuah kerajaan. Ini merupakan objektif dalam teori pentadbiran yang kita tidak boleh ketepikan. Jika MPKK membawa kepada kecelaruan kepada masyarakat, apa ertinya ia dilaksanakan? Sudah tentu kecelaruan itu berpunca dari organisasi sedia yang sememangnya orang yang dilantik mengikut arahan parti pemerintah. Jika dua ketua dalam sebuah kampung maka siapakah yang akan didengari oleh rakyat? Ancaman perpecahan dalam masyarakat harus dinilai oleh Pakatan Harapan agar tidak sebenarnya melainkan satu polisi tanpa kajian menyeluruh. Jangan pula kerana ingin berlumba untuk berkuasa, maka sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan parti.

Rakyat telah banyak kali menegur PH agar lebih bijak dalam mentadbir. Semangat kepartian perlu dibuang sejauhnya oleh PH jika benar mahu Sarawak terus menerima arus pembangunan yang berterusan. Menggadai nasib rakyat hanya akan merugikan negara dan negeri ini. Justeru, PAS berpendapat MPKK tidak lebih hanyalah sebagai satu saluran untuk PH mengawal rakyat Sarawak dan bersaing dengan organisai komuniti di bawah GPS untuk memastikan mereka menang pada PRN akan datang.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 25/9/2019