Rakyat Kelantan kenal siapa Zaid Ibrahim

RAKYAT Kelantan dianggap sudah lama mengenali siapa Datuk Zaid Ibrahim, yang mana sebelum ini pernah menyaman kerajaan negeri kerana hendak melaksanakan kanun jenayah syariah.

Advertisement

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan pemimpin DAP itu bukan pertama kali berlaku.

“Saya yakin rakyat Kelantan tidak termakan dengan kritikan yang dilemparkan pemimpin terbabit termasuk mengugut mahu menyaman kerajaan negeri isu menghentikan seketika urusniaga pasar malam pada waktu Maghrib.

“Serangan beliau kali ini juga atas sifat yang sama, takut kepada kebangkitan Islam yang dibawa kerajaan Kelantan,” katanya di Kota Bharu.

Zaid yang juga bekas anggota parlimen BN di Kota Bharu dilapor mahu memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Kelantan berikutan arahan peniaga pasar malam menghentikan perniagaan seketika solat Maghrib.

“Saya akan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan minggu ini.

“Arahan supaya peniaga pasar malam menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib adalah tidak sah,” katanya di laman sosialnya.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata mana-mana pihak yang tidak melihat Kelantan dengan kaca mata Islam, mereka terpengaruh mendakwa negeri itu mundur.

“Zaid tidak melihat Kelantan dari sudut Islam sebab itu beliau mendakwa Kelantan tidak membuat sebarang pembangunan.

“Kerajaan Kelantan mengharamkan judi, hiburan tanpa kawalan, tempat maksiat dan menyimpan perbendaharaan negeri di Bank Islam adalah antara usaha ke arah memartabatkan Islam,” ujarnya.

Menurutnya bagi mereka yang melihat dari kaca mata Islam, ia perkara besar yang bukan sahaja patut disokong, bahkan patut ditiru. – HARAKAHDAILY 20/4/2017