Jemaah haji disaran manfaat insentif kerajaan negeri

JEMAAH haji muassasah di Selangor disaran memanfaatkan peluang insentif ditawarkan kerajaan negeri yang diselaraskan di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pemberian insentif khas itu sebagai tanda kepedulian dan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Selangor yang bakal menunaikan haji serta menjadi ‘tetamu Allah’, pada tahun ini.

Katanya, ia juga bagi meraikan jemaah haji muassasah Selangor bagi tahun ini dengan pemberian insentif khas RM500 seorang.

“Saya mengharapkan supaya para jemaah haji akan dapat mendoakan kesejahteraan dan keamanan kepada pimpinan negeri untuk terus memberi perkhidmatan terbaik.

“Pimpinan yang baik dapat membangun dan memakmurkan Selangor supaya setiap hasil negeri dapat dinikmati bersama rakyat,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau juga mendoakan keselamatan dan kemudahan di dalam setiap urusan kepada semua jemaah haji, pada tahun ini dan mendapat haji mabrur.

Terdahulu, MBI mengumumkan insentif RM3 juta kepada jemaah haji muassasah Selangor yang bakal menunaikan haji ke Mekah, pada tahun ini.

Jumlah keseluruhan insentif itu ditetapkan berdasarkan makluman Lembaga Tabung Haji berkenaan jumlah jemaah haji muassasah dari Selangor iaitu 6,000 orang.