PPR: Jangan ulangi kesilapan di Gua Musang

KERAJAAN negeri berharap pemilihan pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wakaf Mek Zainab dilakukan secara telus, tanpa campurtangan politik.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, langkah tersebut dilakukan bagi mengelakkan berulang masalah yang berlaku di PPR di Gua Musang.

Katanya, PPR Gua Musang gagal diduduki selepas hampir tiga tahun siap dibina kerana masalah memilih pemiliknya kerana ada campur tangan politik.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan menyerahkan urusan pemilihan penghuni rumah PPR kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Mesyuarat baru-baru ini memutuskan ketua setiausaha kementerian mempengerusi jawatankuasa pemilihan PPR supaya berjalan lebih lancar,”  katanya ketika ditemui selepas pelepasan kontinjen Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Kontinjen tersebut akan menyertai temasya sukan Mahkamah Syariah Se-Malaysia kali ke-4 di Melaka bermula esok. Hadir sama Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Muhamad. – HARAKAHDAILY 9/8/2017