Insya Allah PAS akan menang, tanam dalam diri

PARA pendukung dan penyokong PAS diingatkan agar sentiasa meletakkan keyakinan akan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT sepanjang masa.

Advertisement

Demikian ingatan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Sidek Noor ketika menyampaikan kuliah bulanannya di Markas Tarbiyah PAS Batu 2 Lama, Kangar, semalam.

Menurut beliau, golongan yang berjuang pada jalan Allah tidak perlu merasa bimbang, sebaliknya meletakkan ke dalam diri mereka keyakinan bahawa kemenangan pasti akan menjadi milik mereka kerana perjuangan mereka itu dijamin oleh Allah SWT.

Justeru tambahnya, golongan itu tidak perlu berasa bimbang dan berdukacita sekiranya belum dianugerahkan kemenangan oleh Allah, sebaliknya terus melipatgandakan usaha beserta keyakinan kerana Allah sentiasa bersama-sama mereka.

“Jangan dukacita, jangan rasa lemah, kamu sebenarnya yang hebat kalau kamu orang-orang yang beriman.

“Kena tanam dalam pemikiran, PAS insya Allah akan menang, tanam dalam diri ahli dan petugas,” ujarnya lagi.

Menyentuh berkaitan strategi menghadapi PRU14 nanti, tegas beliau ahli PAS perlu memberikan kepatuhan (wala’) dan sepenuh kepercayaan (tsiqah) kepada kepimpinan PAS dalam merancang dan melaksanakan strategi-strategi menuju pilihan raya.

Ini, katanya kerana pendekatan dan strategi PAS sentiasa berubah-ubah sejak dahulu hingga kini, bersesuaian dengan realiti semasa dan perubahan-perubahan ini kadang kala tidak mampu difahami oleh segelintir ahli.

“Berjuang ini macam main bola, ada strategi, ada masa kita tolak bola ke depan, ada masa tolak ke belakang.

“Biarlah orang nak kata walaun dan sebagainya, kita yakin dengan pendekatan kita pada hari ini (BPMS), PAS nak bentuk suasana politik dengan Islam,” katanya.