Fitnah: Ketua Pemuda PPBM Kelantan mohon maaf

KOTA BHARU: Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Asran Alias akhirnya akur dan memohon maaf di atas dakwaan fitnah terhadap Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Advertisement

Asran sebelum ini didakwa membuat kenyataan fitnah di Facebook pada 8 Jun 2017 terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terbabit.

Asran didakwa memfitnahnya melobi untuk menjadi calon pilihan raya.

Ekoran itu Dr Wan Zawawi memfailkan saman terhadap pemimpin terbabit Ogos lepas.

Pada prosiding kelmarin, Dr Wan Zawawi diwakili peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dan Azwan Mat Hussain, manakala peguam Hisham Fauzi dan Intan Nor Nadhirah Ismail mewakili Asran.

Kes tersebut dikendalikan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Persetujuan luar mahkamah dicapai dengan syarat defendan hendaklah menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman facebooknya di bawah nama Asran Bin Alis selama seminggu.

Selain itu pihak defendan bertanggungjawab tidak akan mengulangi kesalahan yang sama terhadap plaintif.

Dengan penyelesaian defendan bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM1,000 kepada plaintif.

Bagaimanapun defendan memohon membayar dua kali kerana mendakwa tidak mempunyai pendapatan tetap.-HARAKAHDAILY 30/1/2018