Isu wang masjid: Pengurusan masjid perlu peka

BERDASARKAN kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak ( Jaipk ) Dato’ Mohd Yusop Husin berkaitan kajian UPSI yang mendapati berlaku pembekuan wang masjid sekitar RM 8 juta adalah satu bukti berlakunya krisis dalam pengurusan masjid (jawatakuasa kariah) di negeri Perak.
 
PAS Perak telah menyuarakan perkara ini beberapa kali ketika Sidang Dun Perak berlangsung serta mencadangkan beberapa saranan seperti:
 
Pengurusan masjid (Ahli Jawatankuasa Kariah) mesti berperanan bagi menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat agar insentif yang diberikan menjadi satu pulangan baik untuk pihak kerajaan.
 
Sistem/manual pengurusan masjid (SOP Jawantakuasa Kariah) perlu diselaraskan merangkumi aspek pengurusan pentadbiran, kewangan, kebajikan ahli kariah dan prorgam dakwah berkala.
 
Pengurusan masjid (Jawatankuasa Kariah) dan pegawai masjid mesti mengambil perhatian berkaitan hal ehwal ahli kariah seperti ibu tunggal, anak yatim, pesakit kronik dengan menyampaikan bantuan atau menyediakan khidmat kebajikan berdasarkan keperluan.
 
Setiap perjalanan aktiviti masjid perlu mensasarkan kepada semua golongan agar peranan masjid tidak hanya tertumpu dengan satu aktiviti sehingga tidak dimanfaatkan peruntukan serta sumbangan orang ramai.
 
Majlis-majlis ilmu yang diadakan secara mingguan dan bulanan perlu diperkasakan dengan silibus tetap menerapkan pelbagai cabang ilmu demi memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat.
 
Usaha Jaipk untuk mewujudkan satu garis panduan pengurusan wang masjid yang merupakan lanjutan Sistem Pengurusan E-Akaun Masjid ( SPeak ) diharapkan menjadi solusi agar krisis ini dapat diatasi dengan baik.
 
USTAZ MOHAMMAD ZAWAWI ABU HASSAN
Adun Gunong Semanggol
 
HARAKAHDAILY 30/1/2018
Advertisement