MAT PAS terus pacu kebangkitan Islam di Tawau

TAWAU: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Tawau Kali Ke-30 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Al Bukhari Madrasah Darul Hidayah, Sungai Imam, di sini semalam.
 
Mesyuarat bertemakan “Sejahtera Bersama Islam” itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi yang juga Adun Sabak.
 
Dalam ucapan perasmian itu, beliau telah menegaskan kepentingan amalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) diterajui PAS untuk menarik lebih ramai orang mengenali dan menyokong parti ini.
 
Beliau juga telah membaca Amanat Presiden yang menyeru agar ahli memahami Perlembagaan PAS dan mencanai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 sebagai kesiapsiagaan menghadapi PRU.
 
Dalam sesi perbahasan MAT, seluruh pembahas menyokong penuh Ucaptama Yang DiPertua PAS Tawau, Mohamad Husain yang menyeru ahli-ahli PAS Tawau agar bersiap sedia menghadapi PRU Ke-14 dengan ilmu dan mengikut perencanaan.
 
Disamping itu beliau juga mengingatkan agar ahli-ahli PAS Tawau menghadapi setiap cabaran dan kritikan dengan matang dan tenang.
 
Rentetan wujud sesetengah pengguna media sosial yang menggunakannya sebagai tempat meluah ketidakpuasan hati, maka para perwakilan menyuarakan betapa perlunya ahli PAS menjaga adab dan tidak mengikut rentak musuh.
 
Mesyuarat juga telah meluluskan sebulat suara usul dari PAS Cawangan Taman Ria agar PAS Tawau meneruskan usaha untuk menubuhkan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) di Tawau.
 
Sebelum itu, Jabatan Amal dan Ameerah mengadakan perbarisan dan tabik hormat yang dilakukan periksa barisan anggota oleh Sallehen. – HARAKAHDAILY 18/2/2018
Advertisement