Ziarah kebajikan MOSWA jadi rutin PAS Putatan

PUTATAN: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Putatan terus giat menyantuni golongan miskin, orang kurang upaya, sakit, wanita dan armalah (MOSWA).

Advertisement

Sehubungan itu, ziarah rutin kepada golongan tersebut telah diadakan dengan turut oleh Jabatan Amal Malaysia Putatan dan Team MusMedik di Kampung Tanjung Aru Tengah, di sini kelmarin.

Menerusi kunjungan itu, sumbangan berupa barangan keperluan asas dapur disampaikan, selain pemeriksaan kesihatan turut diberikan kepada golongan tersebut.

Pada kunjungan tersebut, PAS Putatan menemui tiga keluarga yakni Serinam Dualis, Marinah Junit dan Nurdiana Darin yang anak mereka tidak bersekolah ekoran pendapatan harian tidak tetap.

Secara umum juga PAS Putatan mendapati, tahap keciciran pendidikan dalam kalangan keluarga susah di penempatan tersebut amat membimbangkan di mana keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka kekal dengan sosioekonomi sedia ada dan tidak berkembang.

Selain itu, rombongan turut memberi perhatian keadaan warga emas, Dayang Hafsah Hasan yang pemeriksaan ke atasnya mendapati tahap kesihatan amat tidak memuaskan.

“Nenek tersebut tinggal berseorangan dan terpaksa mengurus diri sendiri sewaktu anaknya bekerja.

“Terima kasih atas kunjungan dan keprihatinan daripada pihak PAS. Wakil rakyat sini tidak peduli terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat,” adu penduduk. –HARAKAHDAILY 21/2/2018