Rumah terbuka: Ketua agama non-Muslim dirai

KOTA  BHARU: Ketua-ketua agama masyarakat bukan Islam turut diundang menghadiri Majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan yang akan diadakan pada 5 Syawal 1439.

Advertisement

Ketua-ketua agama itu terdiri daripada sami Buddha dari 20 wat Siam di Kelantan, ketua agama Kristian, Hindu dan pemimpin NGO non Muslim.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, tiga meja utama disediakan kepada ketua-ketua agama bukan Islam pada program tersebut.

Selain itu katanya wakil-wakil pusat pengajian pondok juga turut diundang bagi memeriahkan program tersebut.

“Pada program itu pelbagai juadah disediakan dengan dikendalikan Badan Perhubungan PAS dan PAS kawasan-kawasan, Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Penyokong PAS serta Jabatan Pasti Negeri,” katanya di sini.

Antara menu disediakan termasuk sate, roti jala, nasi gulai kawah, laksa, nasi dagang, lemang, murtabak, nasi arab dan pelbagai lagi.

Program tersebut akan diadakan di Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV bermula jam 11 pagi.

Perasmiannya dijangka disempurnakan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Selain itu turut diadakan pameran agensi kerajaan termasuk Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Institut Pemikiran Tok Guru.

Dijangka lebih 20,000 rakyat Kelantan akan menghadiri program tahunan tersebut. – HARAKAHDAILY 10/6/2018