Melaka terburu-buru, ‘langgar’ Persekutuan

LAJNAH Pendidikan PAS Pusat memandang serius kenyataan Ketua Menteri Melaka YAB Adly Zahari yang menyatakan keputusan Kerajaan Negeri Melaka untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki Perkhidmatan Awam Negeri.

Advertisement

Ketua Menteri seharusnya melihat latar belakang sejarah dan Bahasa Kebangsaan sebelum membuat sebarang keputusan yang melibat dasar pendidikan negara. Keputusan terburu-buru dibimbangi memberikan kesan negatif kepada pembentukan negara bangsa Malaysia yang berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah menunjukkan kedatangan etnik India dan Cina ke Tanah Melayu secara nalurinya mereka mempunyai kemahuan untuk memulihara Bahasa Ibunda, adat resam dan budaya khususnya kepada mereka melalui penubuhan sekolah vernakular. Namun selepas kemerdekaan, agenda yang memelihara perkara-perkara tersebut telah berkembang kepada pembangunan warga Negara Malaysia. Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan yang menyatu padukan rakyat berbilang bangsa melalui institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam urusan rasmi negara.

Dalam konteks pengiktirafan UEC, hak-hak untuk mengesahkan dan menerima UEC dalam urusan negara. Pada dasar pihak berkuasa yang boleh mengiktiraf apa juga sijil berkaitan dengan pendidikan ialah Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

YAB Ketua Menteri Melaka perlulah mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan sebelum membuat sebarang keputusan yang akan diguna pakai di peringkat negeri. Beliau merujuk kepada Akta Pendidikan 1996, Jabatan Perkhidmatan Awam, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Pindaan 1983) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat menasihatkan agar YAB Ketua Menteri Melaka menyemak semula kenyataan mengenai pengiktirafan UEC di Negeri Melaka agar selaras piawai Pendidikan Kebangsaan.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat juga percaya kepentingan negara adalah lebih utama daripada kepentingan manifesto parti yang bercanggah dengan Akta Bahasa Kebangsaaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

DR HALIMAH ALI
Lajnah Pendidikan PAS Pusat
6 Julai 2018
-HARAKAHDAILY 6/7/2018