Biar diganyang, tetap berjuang menangkan Islam!

GOMBAK: Umat mesti meyakini kebangkitan semula Islam, tetapi bukan dengan menunggu kemenangan percuma, sebaliknya berjuang bersama jamaah menggunakan segala kebijaksanaan dan kelebihan pada diri.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru agar tidak bersikap putus asa dan lemah semangat seolah-olah tiada harapan lagi untuk orang Islam, sedangkan agama ini dijaga dan dipelihara Allah S.W.T.

Pun begitu peringatnya, setiap pejuang wajib menjadi hamba Allah dan bukannya memperhambakan Allah dengan duduk sahaja meratib di rumah, menunggu Allah menangkan Islam atau menanti kedatangan Imam Mahdi.

“Ini satu langkah yang salah. Kita hamba-hamba pada Allah Taala. Tunaikan perhambaan kita untuk menegakkan Islam,” nasihat beliau ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Perdana di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini hari ini.

Tegas beliau, Islam tidak boleh dijual beli atau disembunyikan di mana umat tetap bertanggungjawab menegakkannya menyambung perjuangan para Nabi dan Rasul secara berjamaah walaupun tidak dipersetujui kaum Musyrikin.

Katanya, walaupun sifat manusia hari ini iaitu benar, amanah, tabligh dan fathonah serta ketinggian akhlak tidak sama dengan para Nabi dan Rasul atau Khulafa’ ar-Rasyidin dan para Imam Mazhab yang hebat, tetapi Islam dipelihara secara jamaah.

“Kelebihan yang ada pada diri masing-masing, dicampurkan menjadi satu kekuatan mengganti kekuatan Nabi dan Rasul, kekuatan Imam yang hebat di zaman dahulu. Ini cara memelihara Islam. Selagi kita tak mati, tunaikan kewajipan ini,” ujarnya membangunkan motivasi.

Tuan Guru mengupas mengenai ibadah Haji di Makkah al-Mukarramah sebagai bukti kehebatan Islam di mana ia dilaksanakan Muslim dari seluruh dunia, termasuk dari negara yang Kerajaan Islam pernah dijatuhkan seperti Sepanyol, Soviet dan China.

Beliau menyoroti agenda menghapuskan Islam di Asia Tengah di mana umat Islam dibelasah habis-habisan, masjid ditukar menjadi panggung wayang dan kandang babi, manakala orang muda tidak dibenarkan solat di masjid kerana ditakluk Komunis.

“Tiba-tiba Komunis yang hancur lebur, Islam bangkit semula. Walaupun kuasa besar dunia, Allah Taala boleh jatuhkan bila-bila masa sahaja. Parsi, Rom, Kerajaan Nazi Jerman, Jepun, British pernah jadi kuasa besar dunia. Soviet Union hancur lebur. Termasuk Amerika, sedang merudum. Takkanlah kerajaan tempat kita yang kecil lagi ini tak jatuh?

“Kerajaan kepunyaan Allah Taala. Ini yang diucapkan oleh jamaah Haji. Satu Muktamar demonstrasi yang dihadiri oleh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Mewakili umat Islam sama ada negeri orang Islam, atau di negeri yang bukan Islam. Kita menyaksikan Islam tak boleh dihapus. Ini kehebatan-Nya.

“Hari ini kita menyaksikan umat Islam yang berjumlah sudah sampai 1.5 bilion ataupun lebih lagi. Berbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia. Mereka menghantar wakil di Makkah al-Mukarramah. Kita menyaksikan bagaimana cahaya agama Islam tak boleh dipadamkan sekali-kali.

“Walaupun negara umat Islam dihancur leburkan, dijatuhkan khilafah, kejatuhan Uthmaniyah 1924. Tak ada yang ganti. Orang Islam hidup berselerak di zaman penjajahan, negeri umat Islam dipecah dan diperintah, orang Islam dilaga-lagakan. Tetapi kepesatan dalam dakwah Islam terus berlaku, ini kehebatan Islam!” ujarnya penuh semangat.

Tambah beliau, rantau Nusantara yang didatangi Portugis, Belanda, British dan Jepun, serta dibahagi dan dipecah-pecahkan, juga diganyang dengan ketenteraan, ekonomi dan politik, tetapi cahaya Islam tidak boleh dipadamkan, sebaliknya tetap berkembang di zaman penjajah. – HARAKAHDAILY 12/8/2018