Wala’ dan taat menatijahkan kemenangan

KUALA NERUS: Wala’, kesetiaan dan taat kepada kepimpinan selagi tidak melakukan maksiat adalah sangat penting di mana akhirnya membawa kejayaan kepada perjuangan Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan, ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, namun ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat.

Tegas beliau, kesetiaan ahli PAS adalah kepada Allah dan Rasul yang dibahasakan pada hukum tertinggi dalam Perlembagaan PAS di mana ia haram dipinda.

Beliau mengemukakan kehebatan kaum Ansar dan Muhajirin yang terlibat dalam Baiah Aqabah Kedua di mana ikatan itu berkait politik dan cabarannya, selain mereka dipuji Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal.

“Sekiranya mahu menjadi orang beriman yang sebenar, ikut contoh, ikut teladan mereka. Golongan Muhajirin yang diuji di Makkah selama 12 tahun, dibelasah dengan dahsyat.

“Ditekan dan ditindas dengan zalim, sehingga ada yang mengadu kepada Nabi S.A.W, Khabbab bin al-Arrad dan rakan-rakannya R.A mengadu:

“Wahai Rasulullah, mengapa tidak berdoa untuk kami? Tidak memohon pertolongan Allah?”

“Kerana mereka tahu doa seorang Rasul pasti diperkenankan oleh Allah. Pernah Nuh berdoa, Musa berdoa, Nabi-nabi zaman dahulu berdoa, dibinasakan kaum yang menentangnya,” ceritanya.

Peneguhan itu dikemukakannya dalam Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Bagaimanapun sambung Tuan Guru mengungkap hadis Rasulullah mengenai keteguhan generasi sebelumnya yang diuji lebih dahsyat, namun tetap teguh bertahan hingga diberi Islam diberi kemenangan.

“Setelah 12 tahun diuji, dibelasah di Makkah, mereka berjaya. Itu golongan Muhajirin dan kalangan Ansar yang setia kepada baiah, bersetia dengan baiah.

“Apabila Nabi S.A.W bertemu dengan kabilah-kabilah Arab, setelah tak mendapat sokongan banyak di Makkah, mencari kabilah Arab yang datang berhimpun menunaikan haji, mengajak mereka masuk Islam memberitahu Allah menjanjikan kemenangan.

“Jangan takut Islam akan menang. (Tapi) Semua mereka tak mahu. Tak percaya kepada janji ini. Melainkan Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah, yang mendengar cerita orang-orang Yahudi Ahli Kitab, tentang zahirnya Nabi akhir zaman. Lalu mereka menerima jadi orang Islam.

“Tak cukup jadi orang Islam, mereka diminta berbaiah,” ujarnya membaca isi Baiah Aqabah Kedua di mana golongan Ansar percaya dengan janji baiah itu.

Terang Tuan Guru, Allah hanya mengizinkan hijrah setelah adanya kumpulan tersebut yang akhirnya membuahkan kemenangan untuk mendirikan negara mendaulatkan syariat Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 16/9/2018