Jamal Khashoggi, Saudi berimej Korea Utara

KIRA-kira setahun sudah, belum selesai kes pembunuhan abang Raja Korea Utara disyaki dibunuh oleh raja itu di KLIA, kini meletup pula pembunuhan yang serupa, ke atas wartawan Saudi Jamal Khashoggi, ghaib di Konsulat Saudi di Istanbul.

Advertisement

Jamal Khashoggi yang lantang mengkritik Raja Saudi, terutama anaknya Putera Mahkota, menyelinapkan diri ke Amerika kira-kira setahun lalu, menjadi penyumbang tulisan tetap di Washington Post tentang keranggian Raja Salman dan Putera Mahkotanya.

Jika tulisan biasa yang dikira menyinggung keluarga Diraja Saudi boleh menyebabkan penulis tidak lena siang dan malam, maka apa lagi dengan tulisan demokrasi bebas dan berterus terang, nescaya tiada keamanan berada terus dalam negeri.

Maka Khashoggi pun seperti berada pada Nabi Musa lalu lari dari Mesir mengelak dari hukuman Firaun atas kesalahan membunuh tanpa niat seorang Qibti yang sekaum dengan Firaun. Nabi Musa cuba meleraikan perkelahian sesorang Bani Israil dengan seorang Qibti. Ditumbuknya si Qibti itu lalu dia mati.

Demi menyelamatkan diri baginda lari hingga ke bumi Nabi Syuaib. Di situ baginda rasa tidak selamat hingga Nabi Syuaib memberi jaminan tiada kuasa luar boleh menceroboh daerah kedaulatan Nabi Syuaib.

Khashoggi sepatutnya selamat di luar Saudi. Dia masuk konsulat Saudi di Istanbul. Dari segi diplomatiknya konsulat/kedutaan adalah kawasan kedaulatan sebuah negara asing di negara tuan rumahnya. Tiada kuasa Turki boleh masuk tanpa sebab. Siapa masuk dijamin selamat, sama seperti selamatnya Nabi Musa di bumi Nabi Syuaib.

Jamal Khashoggi tidak keluar. Tunangnya yang datang sama menunggu hingga 11 jam. Tiada saksi sedar dia keluar dari situ. Dia bukkan malaikat dan bukan jin yang boleh mengghaibkan diri.

Atas syaki jenayah berlaku kerajaan Turki boleh mentakwil kejadian di kosulat Saudi itu, dan kesnya Khashoggi disyaki dibunuh. Kes ini pecah ke seluruh dunia, lalu semuanya menempelak Saudi.

Apa yang Saudi hadapi sekarang sama dengan pencerobohan Korea Utara apabila ejennya dipercayai membunuh abang pemimpin Korea Utara di KLIA Kuala Lumpur. Abangnya memang dipercayai diburu oleh adiknya. Raja Korea Utara rasa terancam jika sesiapa yang tidak disenanginya bebas di luar negaranya.

Seperti Stalin, pemimpin Soviet Union rasa terancam apabila Leon Trotski, pencetus Revolusi Bolshevik komunis lari ke Latin Amerika mengelak dari buruan Stalin. Ejen Stalin membunuhnya di Amerika Selatan.

Kini Raja Saudi dan Putera Mahkotanya berdepan dengan tekanan dunia bebas, terutama Jamal adalah wartawan. Wartawan adalah raja yang tidak bermahkota di dunia, tidak membenarkan warga wartawan dizalimi di mana saja.

Abang pemimpin Korea utara bukan wartawan. Tekanan terhadap Korea Utara tentang pembunuhan itu cukup teruk. Khashoggi adalah wartawan, maka tekanan alam media mempengaruhi kerajaan masing-masing menghadapi angkara yang dikatakan dilakukan oleh Raja Saudi.

Raja Korea Utara kini kurang tekanan disebabkan dia bermain diplomasi dengan Presiden Trump. Amerika memangnya menjadi peluang bagi memastkan Saudi terus terbelenggu di bawah telunjuk Amerika, Israel dan dunia barat.

Saudi yang selama ini tidaklah intim sangat dengan dunia Islam, dengan tragedi Jamal Khashoggi ini menjadi Saudi tertambah terpencil dalam dunia Islam. Apa lagi imej Raja Saudi sekarang tidaklah seperti raja-rajanya terdahulu. Ia dilihat seranggi orang-orang Korea Utara. Korea Utara mahu keluar dari alamnya, Saudi mahu masuk ke alam itu. – HARAKAHDAILY 21/10/2018