Teliti dahulu fakta sebelum berucap

ALOR SETAR: Adun Guar Chempedak, Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail disaran membuat penelitian lebih lanjut sebelum berucap menempelak kenyataan orang lain kononnya tidak tepat atau tidak berfakta.

Advertisement

Muhammad Sanusi Mohd Nor (PAS-Jeneri) berkata, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan sekadar persepsi dan apa yang disebutnya berdasar kepada fakta yang tepat.

Katanya, sepertimana yang dimaklumkan, dalam keadaan normal (yang dipungut dari kebun) kandungan DRC di dalam latex hanya sekadar 24 peratus dan perlu melalui pelbagai proses serta memerlukan latex yang banyak agar meningkat kepada 60 peratus untuk membolehkan harganya bernilai RM4.60 sekilo.

“Dia tidak mendengar ucapan saya dari awal, masuk lewat, selepas itu komen kononnya tak betul dan tak berfakta tepat. Kalau nak komen, patutnya dengar ucapan saya dari mula,” ujar Ketua Pembangkang Dun Kedah itu.

Menurutnya lagi, akibat proses mencapai 60 peratus kandungan latex perlu menjalani pelbagai proses dan mengambil tempoh masa tertentu.

Katanya, kebanyakan ladang-ladang besar sejak 10 tahun kebelakangan ini telah beralih untuk menghasil cup-lump walaupun hanya kandungan DRCnya 50 peratus namun prosesnya singkat serta sepenuhnya bergantung kepada kadar skrap di dalam cawan getah dengan harga antara RM1.90 hingga RM2.00 sekilo.

“Fakta itu berdasarkan harga yang ditentukan oleh Lembaga Getah Negara (LGM) serta disiarkan di laman web, dua kali sehari iaitu pagi dan petang,” katanya kepada Harakahdaily, petang semalam.

Selain itu, sambungnya, Adun Guar Chempedak yang pernah bekerja dengan agensi penyelidikan getah seharusnya melihat bagaimana agensi berkenaan sama ada sepenuh atau separuh kerajaan gagal menaik taraf kehidupan golongan penoreh getah, sedangkan dalam masa yang sama para pegawainya bergaji besar serta kaya raya.

“Buat kajian dan penyelidikan, masing-masing gaji mahal namun penoreh getah tetap miskin. Adun Guar Chempedak patut malu dengan keadaan seumpama ini,” bidas Adun Jeneri itu lagi. – HARAKAHDAILY 15/11/2018