Muslimat kualiti mampu hujah berasas ilmu

TASEK  GELUGOR: Muslimat PAS perlu tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu serta menjadi petugas berkualiti yang mampu berhujah berlandaskan ilmu Islam.
 
Penegasan tersebut dinyatakan Ketua Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang Kali Ke-30, semalam.
 
“Program tarbiyah dan majlis ilmu sangat penting dalam parti agar dapat melahirkan kader-kader berkemampuan menyatakan kebenaran dan berhujah menegakkan Islam.
 
“Setiap lajnah wajib memainkan peranan masing-masing bagi merapatkan hubungan ahli khasnya dan masyarakat umumnya,” ujarnya di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hassan Ahmad, Pusat Pengajian Darul Hadis, di sini.
 
Majlis dihadiri 200 perwakilan dan pemerhati seluruh Pulau Pinang itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusoff.
 
Turut hadir berucap dan merasmikan Tabung Pilihan Raya Muslimat Pulau Pinang adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.
 
Majlis diserikan dengan persembahan Qasidah Sautul Baiduri dari Lajnah Kesenian dan Kebudayaan Muslimat PAS Pulau Pinang itu juga dihadiri Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Dato’ Norliza Abd Rahim.
 
Pada majlis tersebut turut disampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada aktivis yang istiqamah iaitu Maznah Derani, Salmah Jaafar dan Haminah Mohamed.
 
Sementara itu, keputusan pemilihan bagi sesi 2019-2021 menyaksikan Ustazah Hasanah mengekalkan jawatannya menang tanpa bertanding.
 
Manakala jawatan Timbalan dan Naib Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang masing-masing disandang Maziah Khamis dan Ustazah Siti Mastura Muhammad. – HARAKAHDAILY 8/4/2019
Advertisement