Kerjasama antara parti, bukan kerajaan

p4

KUANTAN: Kerjasama yang dibentuk antara Umno dengan PAS adalah berdasarkan parti bukan kerajaan.

Advertisement

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas majlis Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang di sini, malam tadi.

“Kita cakap parti, bukan kerajaan,” jelasnya.

Justeru, katanya agenda kerjasama itu dijelaskan kepada rakyat melalui program seperti itu.

Tambahnya, kerjasama Umno-PAS yang membawa agenda orang Melayu dan Islam adalah untuk menstabilkan politik negara.

Beliau berkata, apabila suasana politik negara stabil dapat menarik pelabur.

“Macam mana nak tarik pelabur kalau suasana politik negara tidak stabil,” ujarnya yang juga Adun Rantau, Negeri Sembilan.

Beliau semasa berucap pada itu menegaskan himpunan tersebut adalah manifestasi kebangkitan rakyat khususnya orang Melayu dan Islam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

Tambahnya, rakyat juga kecewa dan resah dengan kenyataan pemimpin dan dasar-dasar kerajaan PH yang menggugat hak orang Melayu dan Islam.

Selain beliau, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Ismail dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar turut berucap.

Himpunan yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK 1) itu dihadiri kira-kira 10,000 orang. – HARAKAHDAILY 27/4/2019