Muslimat-Wanita Kampar berpaut di majlis munajat

KAMPAR: Muslimat PAS Kawasan Kampar telah menganjurkan program Munajat AKIFI yang turut dihadiri Wanita Umno Bahagian Kampar buat pertama kalinya di Markas Tarbiyah PAS Kampar, Malim Nawar, di sini kelmarin.
 
Program ini bertujuan membina ukhuwah Islamiyah bersama penduduk setempat khususnya kaum wanita dengan menyemarakkan majlis zikrullah secara berjemaah dan bimbingan ke jalan hidayah Allah S.W.T.
 
Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Kampar, Ustaz Saiful Islam Abdullah ketika merasmikan program itu menyifatkan kesedaran umat Islam untuk bersatu atas dasar agama kian meningkat mutakhir ini.
 
Hal itu ujarnya, setelah pelbagai isu menyentuh sensitiviti umat Islam dan Melayu dilacurkan serta disentuh secara tidak bertanggungjawab hingga menuntut kerjasama PAS dan Umno demi masa depan dan survival politik Islam.
 
Beliau turut menyarankan supaya kerjasama seumpama diperluas dalam pelbagai aspek kehidupan lain termasuk ke atas masyarakat umumnya agar dakwah dapat disampaikan ke arah menggapai reda Allah.
 
Hadir bersama anggota masing-masing adalah Ketua Muslimat PAS Kampar, Robiaton Hassan dan Ketua Wanita Umno Kampar, Siti Zaleha Said pada majlis penuh mahabah antara kedua pihak bersaudara ini. – HARAKAHDAILY 29/4/2019
Advertisement