Penduduk zahir dukungan agenda perpaduan ummah

TAMBUN: Walaupun dinamakan Bicara Santai, namun telah mengupas gagasan besar melibatkan agenda perpaduan ummah yang dikupas pada program di Taman Meru 2B, di sini semalam.
 
Malah, ia turut dizahirkan dengan sambutan kehadiran ramai penduduk mendengar mesej diserukan ahli panel dari PAS Kawasan dan Umno Bahagian Tambun pada majlis bersama ini.
 
Ahli panel terdiri daripada Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said bersama Ketua dan Timbalan Ketua Umno Tambun, Dato’ Aminuddin Hanafiah dan Dato’ Azizul Kama Abdul Aziz.
 
Pembentangan yang menyentuh seruan kepada penduduk untuk bersama agenda itu dirancakkan perbincangannya oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri selaku moderator.
 
Antara turut disentuh ahli panel juga adalah mengenai aspek hormat menghormati antara kaum, selain menyangkal tuduhan kesatuan PAS-Umno bersifat ganas hingga digelar ‘Taliban’.
 
Dato’ Aminuddin dalam butirannya turut memuji keharmonian di Kelantan di bawah pemerintahan PAS, manakala Dato’ Azizul Kama pula memperihalkan perjuangan tersebut berteraskan Islam.
 
Ustaz Salleh dalam kupasannya menyelak ketidakstabilan di bawah teraju PH, selain menempelak isu kebebasan suara melampau yang ternyata menggugat Islam dan kaum majoriti negara.
 
Tegasnya, perpaduan kedua parti itu membawa agenda penting kepada ummah, maka tidak timbul antara kedua pihak mengikuti satu sama lain kerana Islam menjadi perkara utama diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 3/5/2019
IMG 20190503 WA0033
 
IMG 20190503 WA0031
Advertisement