Setahun PH gagal tunai janji PRU14

MARANG: Setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tidak banyak perubahan dibuat kerana masih gagal tunai janji manifesto kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, kerajaan PH banyak bergantung pada apa yang telah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Malah, katanya rakyat menyaksikan bagaimana janji manifesto lalu dalam banyak perkara masih gagal ditunaikan.

“Saya melihat mereka banyak bergantung pada apa yang kerajaan Barisan Nasional telah buat, dia (Pakatan Harapan) ikut sajalah. Sebab itu, tidak banyak perubahan yang dia buat.

“Dan terlalu awal dalam masa setahun ini nak beri markah kepada mereka. Namun, kita (rakyat) saksikan janji dalam manifesto itu terlalu cepat nak buat itu, nak buat ini. Tapi, tak berlaku macam janji manifesto itu, termasuk yang segera nak dibuat itu tidak dibuat,” ujarnya kepada pemberita di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Ketika ditanya, markah yang diberikan kepada kerajaan PH itu, kata Tuan Guru Abdul Hadi, umumnya masih tidak berjaya dan tidak lulus kerana gagal tunai janji manifestonya.

Menurutnya, dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) pula, pengundi Melayu dan bukan Melayu turut memprotes kerajaan PH.

“Markahnya masih tak berjayalah, sebagaimana manifesto tak berjaya, tak lulus. Dapat disaksikan bagaimana pilihan raya kecil (PRK) merosot selepas daripada itu.

“Bukan sahaja orang Melayu, kaum lain juga tidak keluar mengundi, itu protes tak keluar mengundi PH,” jelasnya.

Namun, katanya ketokohan Tun Dr Mahathir itu diakui kerana seorang yang berpengalaman lama sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Perdana Menteri yang ada pengalaman, kerana lama jadi Perdana Menteri. Masa dia, telah menaikan kedudukan Malaysia ke persada antarabangsa.

“Apa yang menjadi masalah, menteri-menteri kabinet yang tidak ada pengalaman, yang lemah. Ini yang menjadi masalah kepada Perdana Menteri,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 3/5/2019