Mana suara pemimpin PH pertahan Islam-Melayu?

KUALA LUMPUR: Pemimpin PH ternyata lebih mudah berprasangka terhadap isu Islam dan Melayu yang diperjuang martabatkan, tetapi membisu bila agama dan bangsa ini diinjak hina.
 
Malah, mereka juga bersikap sinis terhadap usaha daripada saudara sebangsa dan seagama Melayu-Islam sendiri, sebaliknya begitu lunak membela dan ‘merahmatkan’ kaum dan agama lain.
 
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, hakikatnya pemimpin PH itu sedar bahawa mereka tidak mampu bersuara dalam isu-isu berkaitan pemerkasaan Islam dan Melayu.
 
Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam sebagai gimik, provokasi, sentimen dan muslihat dari pembangkang.
 
Malah, terdahulu sebelum itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin mendakwa himpunan tersebut sebagai merosakkan imej Islam, selain menuduh penganjur emosi. 
 
“Mana suara mereka bila Senator DAP mencadangkan dibuka kedutaan Israel di Malaysia? Mana suara mereka bila Menteri Belia dan Sukan mencadangkan untuk dibawa kumpulan K-Pop ke negara ini?
 
“Mana suara mereka bila Menteri Pertahanan seolah-olah menyindir pegangan Ahlus Sunnah di Malaysia apabila berimamkan Syiah di Iran bahkan tidak mengenepikan langsung batu Karbala di tempat sujud?” persoal Fadhli.
 
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata, sikap mereka itu ‘terbalik’ dari penyataan Al-Quran mengenai berlemah lembut terhadap sesama Mukmin dan keras kepada orang kafir. – HARAKAHDAILY 4/5/2019
IMG 20190504 WA0043
Advertisement