Ikon anak muda meriahkan edaran bubur lambuk

TAMBUN: Usaha mengimarahkan bulan Ramadan kian meriah apabila mendapat sambutan masyarakat melalui program edaran bubur lambuk percuma di Bazar Ramadan Taman Klebang Jaya, di sini semalam.
 
Ketua PAS Cawangan Taman Klebang Jaya, Ustaz Rafiei Wari berkata, program ini merupakan perancangan Jawatankuasa PAS Cawangan menyantuni penduduk setempat yang kebanyakannya terdiri daripada orang Islam. 
 
Beliau turut menitikberatkan kepentingan ahli PAS bersilaturahim bersama masyarakat tanpa bermusim bagi mengekalkan identiti PAS yang bukan sahaja sebuah parti politik, malah aktif melaksanakan program kebajikan dan kemasyarakatan. 
 
Turut hadir Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri memeriahkan sesi edaran bubur lambuk percuma yang dijalankan ke surau dan bazar Ramadan Taman Klebang Jaya bersama Jawatankuasa PAS Cawangan. 
 
Kehadiran ikon anak muda PAS Tambun tersebut memberikan impak positif terhadap program ini berikutan beliau merupakan seorang yang dikenali masyarakat dan aktif melaksanakan program-program kebajikan sekitar Tambun.
 
Seluruh 350 bekas bubur lambuk telah disediakan dengan kerjasama penduduk setempat dan Jawatankuasa PAS Cawangan yang diadakan di Markaz Taman Klebang Jaya bagi menjayakan program ini. – HARAKAHDAILY 28/5/2019
Advertisement