Percakaran politikus PH hingga abai rakyat, negara

KUALA LUMPUR: Pemimpin Kerajaan PH bersikap umpama kera dapat bunga apabila perebutan kuasa yang berlaku dalam kalangan mereka sehingga melupakan masalah rakyat, negara dan melaksanakan janji manifesto.
 
Pergolakan kuasa jelas dilihat di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melibatkan Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri PH yang kini berpecah-belah dan berpuak-puak.
 
Menurut Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan, hal itu jelas apabila di peringkat Kerajaan Persekutuan, isu bakal Perdana Menteri masih lagi diperkata dan diperdebatkan.
 
Meskipun katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyatakan komitmen beliau untuk berundur apabila selesai tugasannya. 
 
“Kelompok puak-puak PKR yang mendesak ‘tarikh keramat’ Perdana Menteri berundur adalah golongan biadab kepada kepimpinan Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
 
Shahir turut menyifatkan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan sokongannya kepada Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri hingga akhir penggal dilihat provokatif.
 
“Ia sebagai tindak balas isu video yang dikatakan menjadi bahan untuk menamatkan kerjaya politik beliau. Azmin Ali dilihat calon saingan kepada ‘bakal PM’,” ulasnya.
 
Jelas beliau, pihaknya turut menyelar tindakan-tindakan sesetengah Timbalan Menteri yang dilihat melangkaui keputusan dan kenyataan Menteri itu sendiri. 
 
Sementara itu katanya, isu seni khat dan penulisan Jawi asas yang hanya melibatkan 4 muka surat pada buku latihan anak-anak Malaysia telah menjadi isu besar negara. 
 
Walaupun menurutnya, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan Perdana Menteri telah membuat kenyataan rasmi terhadap perkata itu, namun Timbalan Menteri Pendidikan cuba menjadi wira kepada NGO Cina dengan mengadakan pelbagai perbincangan dengan mereka. 
 
Dalam masa yang sama ujar Shahir, di peringkat Kerajaan Negeri di bawah tadbir PH juga mengalami pergolakan apabila parti komponen PH bercakaran untuk menunjukkan siapa lebih berkuasa.
 
“Di Selangor, krisis Menteri Besar dan Speaker Dewan hangat diperkatakan oleh kerana Menteri Besar Selangor sekarang bukanlah calon yang dipilih secara persetujuan oleh parti-parti komponen PH yang lain sejurus mereka menang pilihan raya. 
 
“Umum mengetahui, Menteri Besar Selangor sekarang adalah anak didik Azmin Ali,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2019
Advertisement