Ibrah Al-Kahfi: Semangat untuk selamatkan negara

PEKAN: Buat seketika Surau Al-Ehsan, Taman Sepekan Jaya bergema dengan bacaan surah al-Kahfi yang dialunkan serentak melestarikan Quran Hour 2019 sejak 30 Ogos lalu hingga kelmarin.

Advertisement

Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kawasan Pekan, Ustazah Nalida Nara menyeru para muslimat mengambil ibrah daripada surah al-Kahfi dan bertawassul dengan surah ini untuk memohon keselamatan negara.

Katanya, ia berikutan daripada tindakan yang semakin berani musuh-musuh Islam mempertikai dan memperlekehkan agama Islam di negara ini.

Antara yang hadir dalam majlis ini ialah Ketua dan Naib Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad dan Harison Md Amin serta Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Pekan, Siti Hawa Mohamed.

Juga Pengerusi Lajnah Penerangan, Rahidaton Nordin dan Ketua Ameerah Pekan, Siti Zulaikha Abdul Halim, selain majlis turut diserikan dengan kehadiran pelajar Tahfiz al-Furqan Lilbanat bersama Mudirahnya, Ustazah Aisyah Soim.

Surah Makiyyah yang mengandungi 110 ayat itu dibacakan secara serentak mengikut kumpulan, diikuti dengan tadabbur surah yang telah disampaikan oleh Ustazah Rohana di mana menyeru intipatinya direalisasikan.

“Terutama merdeka jiwa yang mana Allah secara jelas memberi gambaran melalui kisah ashabul kahfi. Tujuh orang pemuda yang bertekad menyelamatkan akidah mereka dengan melarikan diri ke gua bersama seekor anjing. Lalu ditidurkan oleh Allah selama lebih 300 tahun,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, al-Quran dan sunnah Rasulullah hendaklah dijadikan panduan hidup di mana keduanya mesti bergerak seiring dalam pembentukkan sahsiah Muslim sejati, seterusnya dapat mempertahan dan memperjuangkan Islam.

Ini katanya, merupakan tanggungjawab semua lebih-lebih lagi di saat negara sedang dilingkari oleh golongan yang telah diberi kuasa tetapi tidak mampu menangani setiap konflik agama yang timbul.

Sementara itu resolusi pula disampaikan oleh Ustazah Rahidaton yang antara lainnya mengajak sentiasa bersyukur dengan nikmat kemerdekaan dan membentuk serta membetulkan minda sejarah kemerdekaan yang sebenarnya.

Majlis ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran veteren PAS, Saleha Ahmad yang pernah memegang jawatan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pekan lebih daripada 10 tahun dan kini telah berusia 80 tahun. –HARAKAHDAILY 3/8/2019

IMG 20190903 WA0072