Siri FAQ HPU914 (1)

RAMAI di luar sana yang bertanya tentang apakah sebenarnya Himpunan Penyatuan Ummah atau lebih dikenali juga sebagai HPU 914?

Advertisement

Dalam kesempatan ini, saya ingin menjelaskan tentang konsep Himpunan Penyatuan Ummah, iaitu suatu usaha bersama yang dirintis oleh dua parti Melayu Islam yang terbesar di Malaysia iaitulah Parti Islam Se-Malaysia PAS dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Umno ke arah memenuhi dan menunaikan tuntutan agama Islam sebagaimana yang disebut dalam Firman Allah S.W.T surah ali-‘Imran ayat 103 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu berpegang kepada tali Allah yakni agama Islam, dan janganlah kamu berpecah belah.”

Ayat ini menjelaskan kepada kita tuntutan supaya seluruh umat Islam bersatu iaitu bersatu di bawah naungan agama Islam sebagaimana yang dituntut oleh al-Quranul Karim. Dan demikian juga sebagaimana yang telah disebut oleh baginda S.A.W daripada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi an-Abdullah bin Umar R.A, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan mengumpulkan umatku di atas kesesatan dan sesungguhnya pertolongan Allah itu bersama dengan umatku yang bersatu.”

Ayat dan Hadis ini sebenarnya merupakan suatu petunjuk yang penting, mengapa umat Islam harus menunaikan tuntutan perpaduan sesama mereka. Kerana tuntutan perpaduan itu harus didahulukan daripada perkara-perkara yang lain.

Ia adalah merupakan suatu tuntutan yang menjamin keharmonian hidup manusia, bukan hanya di kalangan umat Islam, bahkan umat manusia yang lain.

Himpunan Penyatuan Ummah ataupun HPU 914, ianya bukan bermula hanya baru-baru ini. Tetapi ia telah bermula sejak lebih awal lagi sebelum Pilihan Raya Umum yang ke-14. Apabila ada usaha daripada semua pihak daripada PAS, daripada Umno, daripada pertubuhan-pertubuhan kerajaan NGO dan juga tokoh-tokoh perseorangan NGI supaya umat Islam bekerjasama, sekurang-kurangnya dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam. Termasuklah kepentingan umat Islam di peringkat antarabangsa seperti saudara-saudara kita di Palestin, saudara-saudara kita di Rohingya.

Dan juga termasuklah usaha untuk memartabatkan mahkamah syariah dan perundangan syariah di Malaysia. Ini adalah di antara titik tolak yang penting, di mana bermulanya suatu semangat Ta’awun, iaitulah bertolong-tolong, bekerjasama di atas perkara-perkara yang baik, perkara-perkara yang mendatangkan kepada takwa.

Dan larangan daripada kita bertolong-tolong dan bekerjasama di atas perkara-perkara dosa dan perkara yang membawa kepada permusuhan.

Himpunan Penyatuan Ummah ini adalah usaha yang terhasil daripada kesedaran semua pihak parti-parti politik umat Islam, NGO-NGO, NGI-NGI dan seluruh umat Islam dalam negara ini yang mencintai kesatuan ummah ataupun Wehdatul Ummah ataupun disebut Wehdatul Islamiyyah.

Moga-moga kita semua berusaha ke arah untuk menyempurnakan tuntutan yang disebut dalam surah ali-‘Imran ayat 103 dan diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W. Dan ingatlah bahawa kita ini adalah umat Melayu Islam di Malaysia yang bertanggungjawab untuk mengangkat peradaban Malaysia di masa yang akan datang.

Saya ingin mengakhiri slot pada hari ini dengan pantun daripada al-marhum Dr Burhanuddin al-Helmy:

Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatulah segenap baka,
Pertahankan keadilan pusaka.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/9/2019