Apa khabar anak muda? Sudah daftar undi?

image

BARU-baru ini, kerajaan bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi dan had umur calon seawal 18 tahun selaras dengan amalan demokrasi di seluruh dunia

Advertisement

Perdana Menteri juga bersetuju (setelah didesak pembangkang) pengundi muda yang mencapai umur 18 tahun didaftarkan secara automatik. Ini memberi kuasa kepada orang muda untuk menentukan pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Beliau berkata, peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta yang direkodkan menerusi daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekali gus berupaya membuka ruang untuk golongan muda terbabit dalam mencorak kepemimpinan negara.

Pada PRU-14 yang lalu, hampir separuh iaitu 7.09 juta daripada jumlah pengundi berdaftar adalah pengundi muda berusia antara 21 tahun hingga 39 tahun.

Untuk rekod, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2019, jumlah penduduk Malaysia adalah 29.4 juta yang mana majoritinya didiami oleh kaum Bumiputera seramai 20.4 juta (69.3 peratus), diikuti jauh kaum Cina seramai 6.7 juta (22.8 peratus) dan tercorot sekali kaum india hanya 2.03 juta (6.9 peratus) sahaja.

Penulis tertarik memetik sebuah wawancara bersama mantan pengerusi SPR, Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman sekitar tahun 2016 yang telah dimuat naik oleh seorang blogger di laman blognya

Menurut Rashid, orang Melayu adalah 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia tetapi mereka hanya mewakili 58 peratus jumlah pengundi. Andai semua yang layak untuk mengundi menunaikan hak mereka, jumlah itu akan menjadi 65 peratus. Tetapi hakikat sebenarnya ia tidak menjadi begitu

Di Pulau Pinang sebagai contoh, kaum Cina hanya 45 peratus daripada komposisi penduduk. Secara logiknya mereka tidak boleh memenangi pilihan raya sendiri. Bagaimanapun apa yang berlaku di Pulau Pinang kaum Cina telah berjaya meningkatkan jumlah pengundi berdaftar mereka menjadi 53.38 peratus

Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Menurut beliau, orang Cina di negeri-negeri lain telah turun membantu dan menukarkan alamat mereka supaya dapat mengundi di Pulau Pinang. Matlamat mereka hanya satu, mahu ‘parti mereka’ memerintah negeri itu

Menurut beliau lagi, orang Melayu di Pulau Pinang, telah membentuk lebih 46 peratus daripada jumlah penduduk di Pulau Pinang. Namun orang Melayu yang mendaftarkan diri sebagai pengundi hanyalah 35.7 peratus. Jadi, walaupun kesemua 35.7 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi memilih BN ketika itu, mereka tidak akan menang berdepan dengan DAP kerana orang yang mendaftar mengundi hanyalah 35.7 peratus daripada 46 peratus.

Jika Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini diluluskan, kita akan menyaksikan kebimbangan Tan Sri Rashid dan rakyat jelata yang ambil peduli terhadap perkembangan arus politik semasa di Malaysia, bernafas di zon selesa kerana dijangkakan bilangan pengundi akan naik mendadak menjadi 22.7 juta menjelang 2023 nanti.

Adakah ia mampu mengejut tidur panjang generasi milenia yang sebelum ini bersifat ‘apatis’ apabila berbicara soal politik dan tanggungjawab memilih pemimpin berbanding ‘sami’na wa ato’na‘ mereka berbicara tentang dunia gajet?

Satu kaji selidik telah dibuat oleh sebuah badan bebas iaitu Merdeka Centre terhadap orang muda termasuk pelajar di IPT. Keputusan kaji selidik mendedahkan golongan muda pasif politik, sibuk dengan kerja, muak dengan permainan politik golongan tua dan merasakan mengundi tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka

Persepsi ‘apatis’, tidak ambil endah atau acuh tak acuh terhadap politik ini perlu segera diperbetulkan menjelang PRU-15 yang bakal tiba pada bila-bila masa dari sekarang kerana generasi muda bangsa lain termasuk yang ‘diimport’ dalam senyap sedang mengatur langkah, berebut-rebut mendaftar diri menjadi pengundi kerana mereka percaya jika sifir di Pulau Pinang telah memenangkan ‘parti mereka’, bukanlah sesuatu yang mustahil sifir yang sama mereka guna untuk menakluk negara!

“Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), Dan Allah sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya).”

(ali-‘Imran: 54)

HARAKAHDAILY 15/9/2019