Mengapa politik dan kuasa itu penting?

MERUJUK tulisan Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) bertajuk ‘Kewajipan Mengundi’ di laman sesawang Harakahdaily bertarikh 28 Ogos 2017 yang lalu, ramai di kalangan umat Islam tidak mengambil kisah atau menganggap tidak penting dalam aspek ini.

Advertisement

Ada juga yang merasa bosan kerana banyaknya karenah yang tidak menyenangkan dalam aspek politik, lalu mereka menyerah kalah atau mencari pendekatan yang salah apabila lebih mudarat bencananya. Mereka lupa betapa politik banyak mempengaruhi aspek yang lain, khususnya aspek kedaulatan negara dan keselamatan umat, bukan sahaja aspek ekonomi dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W menyuruh umatnya bersabar menghadapi penyelewengan politik kerana wajib memelihara urusan politik supaya tidak terjerumus ke dalam bencana yang lebih besar akibatnya.

Banyak ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis yang menunjukkan betapa Allah dan Rasul-Nya sangat murka terhadap orang yang tidak mengambil perhatian terhadap kepentingan umatnya sehingga menerima bencana yang memusnahkan semuanya.

Maka hendaklah difahami betapa mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di zaman kini adalah satu kewajipan agama yang besar terhadap setiap orang lelaki dan wanita apabila mempunyai kelayakan.

Allah berfirman:

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

(Muhammad: 38)

Urusan menegakkan Islam dengan menjadi pemerintah berkuasa politik adalah kewajipan besar bagi umat Islam. Adapun yang datang menguar-uarkan supaya umat Islam melupakan politik adalah warisan peninggalan penjajah supaya umat ini lemah dan hilang kuasanya. Akhirnya menjadi hamba kepada sesiapa yang mengambil kuasa.

Menurut Tuan Guru, mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap. Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.

Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu,
Tepuk tangan tanya, apa yang boleh saya bantu?

Tolonglah daftar mengundi. Ulang tulis, tolonglah daftar mengundi (ulangan kedua). Usah bertangguh. Bawa kad pengenalan, terus ke pejabat Pos berhampiran atau mana-mana pejabat Pos pun boleh.

Benarkah di mana-mana pejabat Pos boleh?

Ya, boleh. Katakanlah anda duduk di Kuala Lumpur, esok ambil cuti nak balik kampung ada urusan. Ketika di kampung baru teringat belum daftar mengundi lagi ini. Nak buat di KL tiada masa. Usah bertangguh. Terus pergi ke kaunter pejabat Pos berhampiran di kampung anda. Bawa kad pengenalan, sebut saya mahu daftar mengundi. Tiada dikenakan bayaran pun.

Daftar mengundi online tak ada ke?

Ada. Sila rujuk laman web SPR. Tolonglah daftar mengundi (cukuplah rasanya sampai ulangan ketiga).

Tahukah anda?

Satu undi anda boleh menyelamatkan sebuah negara, satu undi anda juga dengan rahmat dan kasih sayang-Nya mampu menyelamatkan anda di dunia sana, tempat anda tinggal buat selama-lamanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2019