Muafakat Nasional demi masa depan Islam, rakyat

ALOR SETAR: Penyatuan Ummah dibentuk demi masa depan Islam dan orang Melayu memandangkan perpaduan kaum di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan terancam dan gagal dibendung, kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya.

Advertisement

Beliau berkata, Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai di PWTC  pada 14 September lalu merupakan kerjasama antara PAS dan Umno terutama berhubung kedudukan agama Islam, bangsa Melayu tanpa mengabaikan hak-hak dan kedudukan kaum lain.

“Islam telah lama bertapak di Kedah sejak 531 Hijrah lagi. Ketika itu Islam diterima baik oleh pihak Istana dan rakyat jelata.

“Justeru itu, Islam sememangnya sesuai di sepanjang zaman dan pada semua keadaan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, muafakat ini perlu dijiwai dengan gerak kerja berpasukan dan meninggalkan sifat-sifat negatif, mementingkan diri sendiri, sombong, mengkayakan diri sendiri, pintar berlakon serta gagal menyantuni rakyat.

Justeru itu, cita rasa bersama perlu diwujudkan  agar rakyat dapat dibentuk mengikut acuan sendiri kearah sejahteraan yang dianjurkan Islam.

“Antara kita semua mestilah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, tidur sama lena, mandi sama basah serta bersama-sama berusaha ke syurga,” katanya pada Persidangan Muafakat Nasional Peringkat Negeri Kedah Dewan Konvensyen , TH Hotel, di sini, hari ini.

Sementara itu, seawal 7.30 pagi dewan konvensyen itu meriah dengan perwakilan daripada PAS dan Umno menyertai persidangan itu.

Warna merah dan putih kelihatan berseri memenuhi setiap ruang yang disediakan bersama tekad dan niat yang sama penyatuan demi kerana Islam dan bangsa Melayu.

Majlis bermula kira-kira jam 9.00 pagi dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Adik Fayyad Fauzi sejurus selesai nyanyian lagu Negaraku, lagu rasmi kedua-dua parti dan Muafakat Nasional berkumandang.

Majlis berprestij penuh bersejarah itu dipengerusikan oleh dua orang anak muda iaitu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Abdul Hadi Omar dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Alor Setar, Syed Johan Mohd Rizal. – HARAKAHDAILY 28/9/2019

mm2

mm3