‘Ombak Rindu’ Maya Karin, mabukkan Terengganu

KADANG-kadang, suka juga hati ini, sesekali keluar dari kebiasaan penulisan politik ini. Maya Karin, satu nama besar dalam industri filem tempatan. Sememangnya anak kacukan Jerman itu sudah sangat popular dengan sama ada lakonan ataupun mungkin gosip yang melibatkan dirinya. Tetapi semalam, Maya dilihat lebih popular di alam maya, terutama kepada anak Terengganu. Ia berikutan hantarannya di ‘Twitter’ yang dilihat seperti menghina anak Terengganu berumur 10 tahun, hanya kerana gagal menjawab pertanyaan beliau dalam bahasa Inggeris.
 
Pada ramai orang, maksud ayat itu menjurus kepada cubaan memalukan orang Terengganu. Untuk sesetengah yang lain pula, ianya biasa sahaja. Bagi berlaku adil kepada Maya, Maya harus menjelaskan kepada semua apakah maksud di sebalik hantarannya itu, sehingga menimbulkan kemarahan orang Terengganu dengan maksud yang tergantung itu. Bukan sedikit sindiran yang dihantar kepada Maya sebagai tanda protes rakyat Terengganu.
 
Saya cuba mencari logik di sebalik ayat-ayat yang Maya tulis itu. Jika Maya bermaksud, budak itu bodoh kerana tidak tahu berbahasa Inggeris, maka Maya tersilap besar, kerana bahasa bukannya indikasi kepandaian seseorang. Mike Tyson, sewaktu kegemilangannya, dikatakan mempunyai IQ sama kualitinya dengan budak berumur 15 tahun, walaupun penuh mulut bercakap Inggeris. Sebab itu Don King senang memulas kepalanya. Lihat pula kemajuan Negara Jepun dan Jerman yang sangat sedikit bilangan mereka yang pandai berbahasa Inggeris.
 
Kita masih di takuk lama jika meletakkan Bahasa Inggeris sebagai lambang kebijaksanaan. Ia membawa kita kembali ke zaman kuno, suatu ketika dahulu, ketika Inggeris menjajah kita, Melayu yang berkerja di pejabat-pejabat Inggeris, dianggap sebagai orang yang terhormat. Sehinggakan si supir yang tidak tahu menulis dan membacapun, dicari oleh mak dan ayah yang mempunyai anak dara bagi menjodohkan anak-anak mereka dengan supir yang buta huruf itu.
 
Begitulah minda yang telah dipateri oleh Inggeris, apa sahaja daripada mereka, ianya pasti moden, maju, cerdik, gagah dan lain-lain kehebatan. Jika si supir yang tidak tahu membaca itu boleh dipanggil tuan atau encik kerana duduk di pejabat orang putih, maka apa lagi dengan ‘peon’ atau kerani. Mungkin menjadi gila ibu bapa jika penyelia pejabat Inggeris mahu meminang anak dara mereka. Ini semua kononnya kerana jaminan masa depan.
 
Perlu juga diketahui Maya, yang Tanah Melayu dahulu dibahagi kepada tiga bahagian negeri iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Beza jelas antara ketiga-tiga negeri ini ialah kemajuan. Mungkin Johor, boleh dikecualikan kerana mereka telah lama menerima pembangunan. Tetapi Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, tidak menerima nasib yang sebaik negeri-negeri lain, mereka seperti disisihkan oleh Inggeris.
 
Terengganu ialah negeri terakhir mendapat penasihat Inggeris, setelah sekian lama mereka mencuba. Pembangunan di Terengganu sebelum penemuan petroleum dikatakan sebagai sangat jauh ketinggalan. Pernah diibaratkan orang buta yang menaiki kenderaan dari Pahang, mereka mengetahui sebaik sahaja memasuki Terengganu, kerana terlalu teruknya jalan di sini. Sehingga sekarang, Terengganu tidaklah dipandang terhormat oleh orang lain, mungkin kerana cerita lama ini. Ditambah pula Terengganu dahulu, selalu mendapat tempat kedua negeri termiskin.
 
Tetapi keadaan membuktikan sebaliknya sekarang, terutama pada zaman serba canggih ini. Pelajar-pelajar Terengganu sentiasa memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama kebangsaan. Terengganu juga sentiasa berada dalam kelas tersendiri dalam bidang sukan, terutama untuk kejohanan bawah umur. Diisytiharkan dalam kajian UKM bahawa, paling ramai genius ialah rakyat Terengganu. Ianya kekal untuk beberapa tahun. Tidak kurang nama-nama individu dalam senarai insan hebat negara, berasal dari Terengganu.
 
Oleh kerana sikap memandang Terengganu sebagai negeri yang tertinggal, sedangkan ianya tidak sebegitu, ia menyebabkan orang Terengganu mungkin kelihatan agak bersikap sedikit kenegerian dan janggal dengan orang luar. Hal ini seperti yang berlaku kepada rakyat Korea, yang mana kerana tekanan yang terlalu tinggi akibat selalu berperang, maka mereka tidak mempercayai orang luar. Sangat sukar untuk menembusi kepercayaan orang-orang Korea. Begitulah sedikit sebanyak sosiologi yang perlu Maya fahami mengenai Terengganu.
 
Dan jika Maya cuba mahu mengatakan bahawa kanak-kanak itu tercicir, seharusnya Maya bertanya dahulu kanak-kanak itu sama ada sedang bersekolah atau tidak. Atau jika mahu mengadu kepada Menteri Pendidikan kerana pelajar itu tidak mampu menjawab soalan mudah, Maya seharusnya bertanya juga kepada kanak-kanak lain. Dan jika Maya merasakan seorang kanak-kanak itu melambangkan kepada kegagalan pendidikan, saya walaupun tidak menggemari Dr Maszlee, terpaksa menyokong beliau dan meminta Maya melakukan kerja yang lebih berfaedah.
 
Maya Karin mempunyai ijazah dari Universiti Lim Kok Wing, pastinya tahu bagaimana mahu mengambil sampel kepada sesuatu kajian atau dapatan. Ia tidak boleh dilakukan ke atas seorang budak daripada sejuta keseluruhan penduduk Terengganu untuk dibuat hipotesis. Kajian Maya itu langsung tidak akan diterima. Atau adakah kehadiran Maya dengan niat untuk menjadi duta kepada PH, memperlekehkan Terengganu, maka selayaknyalah Maya diperlakukan seperti sekarang oleh rakyat Terengganu.
 
Jadi Maya Karin perlu menjelaskan kepada semua, terutamanya kepada orang Terengganu, apakah tujuan hantaran beliau itu dan atas parameter apakah Maya melakukannya. Harapnya bukan publisiti murahan. Jangan dibiarkan ‘Ombak Rindu’ itu, memabukkan rakyat Terengganu. Redakan ombak itu dan jika perlu, memohon maaf atas sikap yang mungkin agak terlalu cepat melatah dengan ‘kajian’ sendiri itu atau sikap ini akhirnya akan memberikan persepsi yang tidak bagus terhadap diri Maya sendiri.

Advertisement

Maya Karin juga boleh rujuk senarai kejayaan anak Terengganu yang mana saya yakin ia telah disedari oleh Maszlee Malik di bawah:

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/spm-sabk-smka-terengganu-dominasi-senarai-terbaik-kebangsaan-1.628223

 

https://www.sinarharian.com.my/article/18013/EDISI/Terengganu/SPM-2018-Terengganu-kekal-rekod-terbaik

 

https://www.bharian.com.my/node/225392

 

https://www.utusan.com.my/sukan/juara-sukma-terengganu-cuti-30-september-1.753079 

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/09/261827/terengganu-paling-ramai-genius 

 

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 6/10/2019