Guru PASTI tambah baik kaedah pengajaran

PEKAN: Susulan daripada pentingnya persediaan diri dengan kemahiran mengajar secara holistik, PASTI Al-Hikmah telah mengambil inisiatif mengadakan Kursus Pemantapan Guru bertempat di Dewan Indera Sempurna Resort, di sini kelmarin.

Advertisement

Menurut Pengurus PASTI Al-Hikmah, Redhuan Ngah, ia bertujuan menambahbaik kemahiran dan teknik penyampaian pengajaran dengan lebih berkesan serta meningkatkan prestasi perkhidmatan PASTI Al-Hikmah sebagai medium pendidikan awal kanak-kanak.

Kursus ini dihadiri oleh guru PASTI, Kaffah dan Transit Al-Hikmah serta PASTI Al-Fatah di mana terdiri daripada tiga slot yang disampaikan oleh tiga penceramah hebat berlatarbelakangkan pendidikan prasekolah.

Slot pertama disampaikan oleh Wahidah Ariani Mat Wahi mengenai Pembelajaran Dan Pemudahcaraan (PDPC) melalui aktiviti pembelajaran dengan tiga pendekatan iaitu pendekatan bertema, pembelajaran berasaskan projek dan PDP di pusat pembelajaran.

Sementara itu slot kedua, Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dikendalikan oleh Intan Ezura Mohamad Rasit membentang rutin iaitu welcome time, closing time  dan transition time dalam pengajaran Bahasa Inggeris.

Slot terakhir ialah Konsep Pelaksanaan Pendidikan Sivik Di Sekolah dan Kitar Semula (3R) disampaikan oleh Anita Othman di mana menurut beliau ianya pembelajaran sisipan yang boleh diserapkan dalam pembelajaran teras dan aktiviti pembelajaran disepadukan. – HARAKAHDAILY 7/10/2019

IMG 20191007 WA0004