Ziarah Medik santuni warga Dun Duyong

KOTA MELAKA: Jabatan MusMedik Muslimat PAS Malaysia dan Muslimat PAS Negeri Melaka telah mengadakan Ziarah Medik Penyatuan Ummah Siri 1 (ZMPU 1.0) di sekitar Dun Duyong, di sini kelmarin.

Advertisement

Dijayakan bersama Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, MTD Duyong dan Wanita Umno Negeri Melaka dan Wanita Umno Bahagian Kota Melaka sekali gus merealisasikan agenda Penyatuan Ummah.

Program yang disempurnakan perasmiannya oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek ini telah menyantuni 33 penduduk setempat dengan memberikan khidmat kesihatan fizikal, mental dan rohani.

Menurut Pengarah Jabatan MusMedik, Dr Reen Mohd Amin, ziarah ini selain menjadi inisiatif mesra rakyat menyampaikan khidmat kesihatan kepada golongan memerlukan, ia juga sebagai menunaikan hak sesama Muslim.

Katanya, kunjungan dari rumah ke rumah itu mendekatkan Muslimat dengan masyarakat umum selain menjadi platform ukhuwah serta menjana motivasi dalam kalangan wanita Islam ke arah menjayakan Muafakat Nasional.

Seramai 10 petugas MusMedik serta 30 anggota Muslimat PAS dan Wanita Umno Kota Melaka telah bersama menjayakan program ini yang bakal menjadi aktiviti rutin dalam kerangka Muafakat Nasional.

Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Melaka, Aziah Saad dan Setiausaha Wanita Umno Melaka, Datuk Kalsom Nordin serta Ketua Muslimat PAS dan Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Noorfazilah Ismail dan Norhayaty Hamzah. – HARAKAHDAILY 2/12/2019