Bersama bendung wabak Covid-19 – Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk pimpinan masyarakat memikul tanggungjawab menunaikan arahan yang dikeluarkan kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Advertisement

Beliau berkata, perkara ini meliputi soal kemanusiaan apabila bahaya wabak virus Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak mengenal kaum, bangsa, pangkat dan sebagainya.

“Kita menunaikan secara bertanggungjawab dengan wabak ini menimpa semua.

“Macam kita duduk dalam bahtera, kalau kapal tenggelam semua yang ada dalam kapal (turut) tenggelam. Bukan kapten kapal sahaja, termasuk kelasi kapal dan penumpang kapal,” kata Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau memberi peringatan berkenaan dalam satu rakaman kenyataannya yang disiarkan di akaun Facebook rasminya hari ini.

Bermula hari ini sehingga 31 Mac, kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa selama 14 hari dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Rakyat diminta patuh dan memberi kerjasama supaya sama-sama membendung penularan Covid-19.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan awam di seluruh negara.

Semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara sahaja. – HARAKAHDAILY 18/3/2020