Cubaan import buangan merbahaya digagalkan

KUALA LUMPUR: Cubaan mengimport lima kontena mengandungi buangan berbahaya iaitu bateri asid plumbum terpakai berjaya digagalkan pihak berkuasa di Pelabuhan Klang, kelmarin dahulu.

Advertisement

Tindakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA) menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu susulan daripada maklumat yang diperolehi dari pihak Kerajaan Australia.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan MEWA memaklumkan, bateri asid plumbum terpakai ini diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya (hazardous waste) di bawah Konvensyen Basel.

“Dan dikategorikan sebagai Buangan Terjadual Buangan Bateri Asid Plumbum, kod SW 102, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Siasatan ke atas penerima (consignee) turut mendapati alamat yang dinyatakan dalam rekod penghantaran adalah palsu.

“Penghantaran kontena ini dilakukan tanpa kelulusan JAS yang bertindak sebagai Pihak Berkuasa Konvensyen Basel bagi Malaysia. Ia diklasifikasikan sebagai pengimportan haram sepertimana Artikel 9, Konvensyen Basel.

“JAS telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada syarikat perkapalan untuk menghantar pulang semua kontena tersebut ke negara asal, Australia,” ujar kenyataan itu.

Dimaklumkan, kejayaan operasi menangani cubaan membawa masuk buangan berbahaya ini secara haram adalah hasil kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia.

Ianya dinyatakan sebagai usaha bagi membanteras buangan berbahaya merentasi sempadan dan MEWA telah merakamkan penghargaan di atas kerjasama pihak Australia.

“Terima kasih kepada Kerajaan Australia atas maklumat yang telah disalurkan oleh pihak Kedutaan Besar Australia di Malaysia. Penahanan kontena-kontena dilakukan bersama pihak Kastam DiRaja Malaysia (KDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Westport Sdn Bhd,” maklum kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 3/4/2020