Prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan

Panduan ketika bertugas dalam kemungkinan COVID-19

KEHADIRAN wabak COVID-19 yang tidak diundang ini telah mengubah rutin dan proses kerja di industri. Antaranya ketidakhadiran pekerja yang mungkin meningkat, perubahan di dalam paten perniagaan serta mengganggu proses membekal dan penghantaran barangan. Oleh itu sudah tiba masanya pihak majikan perlu mengambil tindakan serius di dalam persediaan pencegahan dan kawalan semasa dan pasca wabak COVID-19 ini. Perkara utama ialah membangunkan prosedur bekerja dan pelan persediaan tindakan kecemasan bagi penyakit berjangkit.

Tindakan ini bukan sahaja kepada industri tetapi termasuklah Menteri, Yang Berhormat, penjawat awam serta sukarelawan yang bekerja dan bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Bilamana ramai yang akan turun padang untuk bertugas melawat jabatan dan rakyat semasa PKP ini, maka prosedur bekerja yang betul dan jelas perlu dibangunkan dengan mengambil kira saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Advertisement

Prosedur bekerja dan pelan kecemasan tersebut haruslah mempertimbangkan dan menangani tahap risiko yang dikaitkan dengan pelbagai tempat kerja dan pekerja yang bertugas serta mereka yang tampil dan berjumpa semasa bertugas. Pertimbangan termasuklah:

(1)  Di mana, bagaimana, dan apakah sumber COVID-19 yang mungkin pekerja terdedah, seperti:

(a) Orang awam, pelanggan, dan rakan sekerja; dan
(b) Individu yang sakit atau mereka yang berisiko tinggi daripada jangkitan (seperti pelawat atau pelancong Antarabangsa yang ada melawat lokasi dengan kerap, petugas kesihatan yang mungkin terdedah kepada mereka yang berkemungkinan atau disyaki jangkiti COVID-19).

(2) Faktor risiko bukan pekerjaan seperti di rumah dan di dalam masyarakat sekitar (seperti kawasan jangkitan tinggi).

(3) Faktor risiko individu pekerja (seperti umur  yang lebih tua, mempunyai latarbelakang penyakit kronik, dan juga  termasuk keadaan kehamilan).

(4) Faktor kawalan semasa yang ada bagi mencegah wabak.

Sebahagian pertimbangan yang disebutkan tadi boleh dijadikan panduan semasa membangunkan  prosedur bekerja dan persediaan kecemasan bagi  mengekang wabak COVID-19 ini. Kawalan juga perlulah memenuhi konsep hierarki kawalan serta prinsip kawalan.

Oleh itu semua pihak harus segera merancang dan membangunkan prosedur tersebut tanpa perlu berlengah lagi dengan membiarkan PKP berlalu pergi!

HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengurus
Bahagian Penyebaran Maklumat
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) – HARAKAHDAILY 18/4/2020