PH sedang buat gerakan ‘kerajaan pintu belakang’?

PENDAHULUAN

Sejak hujung Ramadan dan awal Syawal, pimpinan utama PH keras sekali menegaskan kepada kita semua bahawa PH pasti akan mengambil alih semula Putrajaya dalam tempoh terdekat. Setiap hari kita diviralkan dengan cerita bahawa PH telah mempunyai ‘cukup nombor’. Sekejap 129, sekejap 130 dan sekejap ‘dalam proses’.

Beberapa Ahli Parlimen digembar-gemburkan sudah mula ‘menyeberang’ dan menyokong PH. Viral juga dakwaan mengatakan ada menteri akan letak jawatan. PH sentiasa di’angkat’ kononnya akan kembali berkuasa dalam sehari dua lagi.

Namun, setakat ini semuanya hanyalah omong-omong kosong belaka. Harapan yang tak kesampaian dan kekecewaan yang tidak berkesudahan.

Advertisement

Kenapakah PH menuduh Kerajaan PN sebagai ‘kerajaan pintu belakang’?

Sebab pertama ialah Kerajaan PN – secara teknikalnya- bukanlah gabungan yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebab kedua ialah Kerajaan PN menjadi kerajaan berdasarkan kepada mandat majoriti Ahli Parlimen yang telah ‘berubah arah’ dan tidak lagi menyokong PH.

Atas dua sebab ini, Kerajaan PN dilabelkan sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ oleh PH.

Namun, sebab sebenar label ini dijaja oleh PH ialah untuk menutup kesilapan ‘memalukan’ PH yang menjatuhkan kerajaan mereka dengan ‘tangan-tangan’ mereka sendiri. Dengan penuh rela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak lain. Iaitu setelah tidak tertahan lagi dengan ‘konflik dalaman’ sesama sendiri dan ‘pertikaian berterusan mengenai peralihan kuasa’.

Jalan keluar yang mudah untuk mereka ialah dengan menuduh PN ‘menggulingkan’ mereka melalui ‘pintu belakang’.

Kenapakah Kerajaan PN sebenarnya bukan ‘kerajaan pintu belakang’ tetapi ‘kerajaan melalui pintu depan’?

Sebabnya ialah Kerajaan PN tidak menjalankan kempen ‘membeli’ atau ‘memancing’ Ahli Parlimen PH untuk menggulingkan Kerajaan PH.

Yang berlaku ialah Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) lantikan PH meletakkan jawatan secara sukarela di hadapan SPB YDP Agong, dan mengisytiharkan barisan Kabinet beliau juga turut dibubarkan.

Ini bermakna, Malaysia tidak ada kerajaan. Maka SPB YDP Agong terpaksa melantik PM baru yang nanti akan membentuk kerajaan baru menggantikan Kerajaan PH yang telah ‘berkubur’. Syaratnya PM yang baru mestilah ada sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Maka ‘pintu depan kedua’ pembentukan kerajaan baru pun terbuka semula. Namun ‘pintu depan kedua’ ini hanya terbuka kepada dalam Ahli-ahli Parlimen yang telah diberi mandat oleh rakyat dalam PRU ke-14 yang lalu. Mereka diberi peluang dan hak untuk memilih PM yang baru yang bakal membentuk kerajaan yang baru.

Tawaran melalui ‘pintu depan kedua’ ini disambut oleh kesemua Ahli Parlimen. Kesemua mereka menghadap SPB YDP Agong untuk menyatakan sokongan mereka. Ada ke Istana Negara dengan kenderaan sendiri, dan ada yang pergi berkumpulan dengan bas.

Malangnya, bila keputusan diumumkan oleh SPB YDP Agong, pihak yang tewas menuduh pihak yang diisytiharkan mendapat majoriti sebagai ‘kerajaan pintu belakang’.

Usaha menjatuhkan Kerajaan PN melalui ‘pintu belakang

Pada hari ini PH menggunakan sehabis daya cuba menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjatuhkan Kerajaan PN. Iaitu, setelah mereka keluar secara sukarela daripada ‘pintu depan’ dan gagal kembali semula sebagai kerajaan melalui ‘pintu depan’ kedua.

‘Pintu belakang’ untuk membentuk kerajaan baru, yang dibenarkan dan sentiasa terbuka bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi ialah mengemukakan ‘Usul Undi Tidak Percaya’ kepada kerajaan yang sedang berjalan.

Untuk memastikan kejayaan mereka ‘menggulingkan’ Kerajaan PN melalui ‘pintu belakang’ ialah dengan cara ‘permainan nombor’. Caranya berusaha menukarkan semula sokongan Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN di hadapan SPB YDP Agong, agar ‘beralih arah’ dan menukar sokongan.

Ringkasnya, PH secara tidak langsung sedang menggalakkan proses ‘melompat’ di kalangan Ahli-ahli Parlimen. Ini sangat bertentangan dengan kebencian dan kemarahan mereka terhadap setiap proses ‘melompat’, tanpa mengira apa jua sebab yang membawa kepada ‘pertukaran sokongan’ itu.

Penutup

‘Permainan nombor’ gaya PH pada hari ini adalah satu paradoks. Iaitu dua prinsip yang saling bertentangan antara kedua-duanya. Mereka mengecam sebarang aktiviti melompat parti, tetapi dalam masa yang sama sedang ‘memujuk’ Ahli-ahli Parlimen untuk ‘melompat’ kepada PH.

Bersediakah kita untuk kembali semula ke zaman PH? Kembali semula ke zaman ‘perang dingin’ antara kem Tun Mahathir dan kem Dato’ Seri Anwar? Zaman COVID-19 ditangani secara tidak komprehensif? Kembali semula ke zaman Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan? Zaman Tommy Thomas? Zaman gelap industri kelapa sawit negara?

Usaha membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ ala PH mutakhir ini, bakal menjadikan krisis politik negara kita sentiasa tidak stabil. ‘Politiking’ akan berterusan. Yang menang menjadi arang, dan yang kalah menjadi abu.

Bersediakah kita?

ZAKARIA ISMAIL – HARAKAHDAILY 5/6/2020