Kasihan Ngeh mahu capai bulan

Ngeh

KINI sudah masuk 3 bulan pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ternyata rakyat begitu yakin dan selesa pada kerajaan ini tambahan dengan kejayaannya menangani pandemik COVID-19 dengan begitu cemerlang sekali berbanding dengan negara-negara lain.

Pujian dan sanjungan terus diberikan tidak putus-putus pada kerajaan ini. Tiada protes atau rungutan terbuka dari rakyat terhadap kerajaan ini malah hari ini ia diberikan penarafan yang tinggi tidak sebagaimana Kerajaan PH yang memerintah 22 bulan itu.

Walaupun demikian, pihak pembangkang yang kecewa hilang kuasa itu terus berusaha mencetuskan keraguan dengan mendakwa kononnya mereka mempunyai sokongan yang cukup dari Ahli-ahli Parlimen bagi merampas kembali kerajaan dari PH.

Advertisement

Sebelum ini ada yang mendakwa kononnya mereka sudah punya 129 Ahli Parlimen, tetapi sehingga kini bilangan berkenaan tidak mampu dibuktikan dan terus senyap apabila Ahli Parlimen Lubuk Antu dari PKR mengisytiharkan menyokong PN.

Semalam Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham pula mendakwa gerombolan mereka punya lebih dari 112 kerusi dan bakal meningkat ke 130, lantas memohon agar Muhyiddin menyerahkan kerajaan kembali ke tangan mereka. Menyerahkan? Kamu sudah tiada kerajaan Ngeh, sudah lupa?

Muka tembok apakah yang terlekap pada wajah Ngeh ini? Kita sedar PH terutama DAP masih bersedih, merungut dan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak lagi berkuasa, tetapi janganlah sampai kelihatan sasau dan hilang akal sehingga memakan dan memalukan diri.

Bukan hanya rakyat tetapi dunia memerhatikan kita. Kiranya benar mimpi Ngeh bahawa PH kini sudah punya 112 atau 130 kerusi, segera panggil sidang akhbar (jangan lupa CNN, Al Jazeera dan BBC, tidak cukup hanya Malaysiakini) dan himpunkan sekali Ahli-ahli Parlimen yang dimaksudkan. Biar dipertontonkan kepada rakyat dan negara secara terbuka. Ketika itu bukan sahaja Muhyiddin akan mengalah malah pintu pagar Istana Negara pun akan dibuka untuk mengizinkan mereka masuk untuk kembali berkuasa.

Tetapi jika sekadar melalak di tepi jalan, sekejap 112 sekejap 129 sekejap 130, ini bukan berniaga surat khabar lama, ini urusan pemerintahan negara.

Ngeh dan rakan-rakan bawalah bertenang. Lihat di sekeliling anda, rakyat kini telah mengiktiraf dan menerima pemerintahan PN di bawah Perdana Menteri ke-8. Hentikanlah segala cerita kosong dan angan-angan Mat Jenin anda itu. Terimalah hakikat bahawa PH sudah hilang kuasa angkara tindakan PM ke-7 meletak jawatan atas kehendaknya sendiri.

Hari ini PM ke-8 dari PN, maka jadilah pembangkang yang bertanggungjawab bukan yang separuh tiang atau sasau tak menentu. Sabarlah Ngeh, PRU ke-15 nanti cubalah nasib kembali.

Tidak gula dibuat gula,
Hanyut kiambang berangkai-rangkai;
Tidak gila dibuat gila,
Bulan mengambang rasa nak capai.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 10/6/2020