Aktiviti masjid dibenar di Kelantan

KOTA BHARU: Solat Jumaat dan solat berjemaah serta aktiviti di masjid, surau dan musolla di Kelantan dibenarkan berkuatkuasa esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan jemaah berdasarkan kapasiti sebenar dengan penjarakan sosial satu meter.

Advertisement

Katanya, jawatankuasa masjid dan jemaah hendaklah mengamal normal baharu mengadakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah bagi mengawal penularan virus Covid-19.

“Ahli jawatankuasa masjid perlu kerap melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang mengambil wuduk selain membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang-kurangnya satu meter.

“Pada masa sama, jawatankuasa masjid, surau dan musalla hendaklah mempunyai petugas yang mencukupi bagi membantu kawalan jemaah,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya juga perkara berkenaan mendapat perkenan Sultan Muhammad V sebagai ketua agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang membenarkan solat Jumaat, solat fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP).

Kata beliau juga pintu masjid dibuka sejam sebelum azan dan hendaklah ditutup apabila bilangan jemaah mencapai kapasiti yang maksimum.- HARAKAHDAILY 18/6/2020