Jihad dan ijtihad: Dua tonggak kejayaan umat

IMAM Malik R.A menyatakan;

Advertisement

لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها

“Tidak akan menjadi baik generasi akhir umat ini melainkan dengan mengikut cara generasi terawal umat ini menjadi baik.”

Kata-kata Imam Malik R.A ini ringkas, tetapi ia adalah satu kesimpulan yang tepat dan padat bagi menyatakan kunci kebangkitan dan kejayaan umat Islam.

Hari ini umat Islam berada pada tahap yang sangat menyedihkan. Bahkan, mengikut pandangan Syeikh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi bahawa umat Islam hari ini adalah model umat Islam yang paling teruk di sepanjang zamannya. Mereka lemah dan ketinggalan dalam segenap penjuru. Dari segi pengamalan agamanya, ekonominya, kekuatannya, keilmuan dan kemajuannya, kestabilan tanah airnya dan pelbagai lagi masalah yang menimpa umat Islam hari ini.

Keadaan ini berpunca akibat mereka meninggalkan ajaran Islam serta tidak berusaha memahami maqasid memakmurkan dunia yang dituntut oleh al-Quran. Bahkan mereka membiarkan umat-umat lain maju ke hadapan dan redha hanya sekadar menjadi ekor di belakang.

Walau bagaimana lemah sekalipun keadaan umat Islam, kita mesti yakin dan percaya bahawa dunia ini hanya boleh diselamatkan dengan Islam sahaja. Ini kerana sudah terbukti bahawa ideologi-ideologi selain Islam gagal menyelesaikan masalah manusia.

Allah S.W.T berfirman:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

(al-An’am: 153)

Kepincangan ideologi rekaan manusia

(1) Sejarah telah membuktikan apabila Eropah berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk satu ketika dahulu di era Imperialisme. Lalu muncul Adam Smith (1723-1790) mengasaskan Kapitalism kononnya sebagai solusi untuk menyelesaikan krisis ekonomi itu.

Setelah sekian lama Kapitalism mempesonakan orang-orang Eropah, krisis ekonomi dilihat semakin mengkayakan kasta-kasta tertentu sahaja. Bahkan merosakkan sistem masyarakat sosial apabila para pemodal (capital) mula mengupah kanak-kanak dan kaum wanita kerana upahnya lebih rendah berbanding lelaki.

Akhirnya menyebabkan kaum lelaki tidak bekerja, manakala kaum wanita dan kanak-kanak pula yang bersusah-payah menyara keluarga. Kepincangan ini disaksikan oleh Karl Marx (1818-1883) dan mengkritik cara Kapitalism tersebut. Lalu beliau menggagaskan Sosialism kononnya sebagai solusi kepada krisis ekonomi dan masyarakat sosial.

Setelah sekian lama Sosialism diperkenalkan, akhirnya ada negara yang mengikut fahaman Kapitalism dan ada negara yang mengikut fahaman Sosialism. Seterusnya berkembang menjadi dua paksi kuasa pasca Perang Dunia Kedua, iaitu Blok Barat (Amerika) dan Blok Soviet.

Blok Barat yang didominasi oleh Amerika berpegang dengan fahaman Liberal Kapitalis, manakala Blok Soviet berpegang dengan fahaman Sosialis Komunis. Apa yang parahnya, kedua-dua blok ini bertembung akibat perbezaan ideologi antara 1948 sehingga 1992 yang menyaksikan kekalahan Soviet.

(2) Begitu juga pertembungan ideologi Realism dan Idealism. Realism berkembang apabila para sarjananya merasakan Idealism tidak mampu menyelesaikan masalah negara. Lalu Realism dikembangkan kononnya sebagai solusi kepada kelemahan Idealism dan antara tokohnya adalah Machiavelli.

Era Perang Dunia Kedua menyaksikan bagaimana Idealism tidak dapat menyelesaikan krisis peperangan. Lantas Realism diolah menjadi Neo-Realism yang lebih memfokuskan kepada kepentingan survival sesebuah negara kononnya sebagai solusi kepada penyelesaian krisis perang. Sehingga kini Neo-Realism masih lagi tidak mampu menyelesaikan krisis peperangan sesama manusia.

Islam adalah penyelesaian

Dunia yang dikuasai oleh ideologi selain Islam hari ini walaupun dilihat maju dari segi ilmu keduniaan tetapi tidak berjaya menyelesaikan masalah manusia. Bahkan sepertimana yang disebut oleh beberapa orang tokoh islah, bahawa dunia itu sedang menuju ke arah jahiliyyah moden.

Ini kerana kemajuan ilmu dan teknologi dipergunakan hanya untuk memuaskan nafsu, bukan untuk membina kemakmuran. Buktinya boleh dilihat di mana-mana negara dan juga dalam pelbagai sudut seperti kemusnahan alam sekitar, penghasilan senjata-senjata yang mampu memusnahkan manusia itu sendiri, kekayaan yang menindas, pembahagian hasil negara yang tidak adil, masalah ekonomi meruncing akibat pengamalan riba, perebutan sumber tenaga dan kekayaan yang membawa kepada peperangan, dan lain-lain lagi masalah yang terlalu panjang untuk disenaraikan.

Contohnya kita boleh lihat apabila kuasa besar seperti Amerika yang terlalu mengagungkan Liberalism yang menyeru kepada kebebasan, menjadikan negara itu berkecamuk hari ini. Khususnya susulan pembunuhan George Floyd. Kebebasan ala-ala Liberal yang ditawarkan oleh mereka akhirnya tidak terkawal dan memusnahkan mereka sendiri.

Hanya Islam yang sudah terbukti dalam sejarah panjangnya dapat menyelesaikan masalah manusia yang mempunyai pelbagai agama dan bangsa. Dimulakan dengan dasar bahawa semua manusia berasal dari bapa yang sama bagi menghalang penindasan terhadap manusia lain atas alasan perbezaan warna kulit, tiada paksaan dalam beragama yang mengelakkan penindasan terhadap perbezaan agama dan ideologi, prinsip memakmurkan dunia dan bukan merosakkannya yang menyekat penghasilan dan aktiviti yang merosakkan manusia dan alam sekitar, serta konsep pembahagian kekayaan yang adil bagi menyekat rampasan sumber dan harta orang lain.

(1) Dalam masalah urus tadbir Islam menyediakan model-model pentadbir di dalam al-Quran, seperti Nabi Yusuf A.S, contohnya yang tertulis di dalam surah Yusuf, dan juga kisah Nabi Sulaiman A.S. Begitu juga model kepimpinan Rasulullah S.A.W dan Khulafa’ ar-Rasyidin. Cadangan rujukan kitab seperti Ahkam Sultoniah الأحكام السلطانية dan Siyasah Syariyyah السياسة الشرعية.

(2) Dalam masalah pendidikan, Islam menyediakan sistem pendidikan Islam, contohnya yang terkandung dalam ayat kedua surah al-Jumu’ah, surah Luqman dan juga pentarbiahan di zaman Rasulullah S.A.W sebagai model rujukan di era Makkiyyah dan Madaniah. Pembiayaan kos pendidikan pula, Islam menawarkan konsep waqaf.

(3) Dalam masalah ekonomi, Islam menyediakan penyelesaian melalui sistem zakat, waqaf dan sistem cukai yang tidak menindas. Islam mengharamkan monopoli, rasuah, larangan membazir dan cukai yang dikenakan kepada semua orang. Huraian tambahan dimuatkan dalam bahagian muamalat di dalam Kitab-kitab Feqah.

(4) Dalam masalah kesihatan, Islam menyediakan kaedah-kaedah perubatan melalui Sunnah Nabi S.A.W seperti yang dihimpunkan di dalam Kitab طب النبوي dan kaedah-kaedah umum seperti الوقاية خير من العلاج iaitu ‘pencegahan lebih baik daripada mengubati’ ataupun kaedah الضرر يزال yang bermaksud ‘kemudaratan itu dihapuskan’.

(5) Dalam masalah keselamatan, Islam menyediakan Undang-undang Jenayah seperti Hudud, Takzir dan Qisas. Islam juga menyediakan sistem Hisbah (penguatkuasaan). Selain itu, Islam turut menyediakan model Rasulullah S.A.W di dalam memelihara keselamatan negara seperti sistem kerahsiaan merujuk kepada peristiwa yang terjadi pada Hatib bin Abi Balta’ah.

(6) Dalam masalah pertanian, Islam menyediakan konsep pertanian cara Islam, antaranya konsep إحياء الموات iaitu membuka atau memugar tanah dan memperkasakan pengeluaran tempatan, iaitu mengurangkan import. Bahkan pertanian juga dikenakan zakat bagi mewujudkan keseimbangan.

Kuncinya ialah ‘jihad’ dan ‘ijtihad’

Al-Marhum Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadawi menyebut dalam kitabnya yang agung ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين yang bermaksud apa ruginya dunia ini dengan sebab kejatuhan umat Islam, bahawa ada dua ciri utama kejayaan umat Islam generasi terawal dalam menyelesaikan masalah manusia dan memimpin dunia dengan Islam, iaitu jihad dan ijtihad.

(1) Jihad ialah mengerahkan sepenuh tenaga bagi menegakkan agama Allah. Jihad juga membawa maksud berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Oleh itu umat Islam tidak boleh malas dan membuang masa. Bahkan mereka mesti berusaha dengan sepenuh tenaga dalam menegakkan agama Allah dan memakmurkan dunia.

Nabi S.A.W sendiri dalam doanya meminta kepada Allah S.W.T supaya dijauhkan daripada sifat malas:

اللَّهمَّ إنِّي أعوذ بك مِن العَجْز، والكَسَل، والجبن، والهرم، والبخل، وأعوذ بك مِن عذاب القبر، ومِن فتنة المحيا والممات

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada rasa lemah, malas, takut, kejelikan di waktu tua, dan kedekut. Aku juga berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur serta bencana kehidupan dan kematian.”

(Muttafaq Alaih)

Baginda S.A.W juga menggesa supaya umat Islam bekerja dan jangan meminta-minta. Bahkan hanya dalam tempoh beberapa tahun yang singkat di Madinah Al-Munawwarah, Baginda S.A.W telah melakukan pelbagai usaha bersama para Sahabat bagi mewujudkan masyarakat yang berdikari dari segi ekonomi, ketenteraan dan keilmuan sehingga orang Arab yang pada asalnya umat yang jahil menjadi berilmu dan miskin menjadi kaya. Ekonomi yang asalnya dikuasai oleh Yahudi dengan sistem riba berjaya dipulihkan dan dikuasai oleh umat Islam dengan sistem Islam dan lain-lain pencapaian yang luar biasa.

Kesemua ini dicapai dengan jihad dan usaha keras yang tidak terhenti, serta pengorbanan yang memerlukan konsisten yang panjang, nyawa dan juga harta.

(2) Ijtihad pula ialah mengerahkan sepenuh akal pemikiran bagi mencari ilmu dan idea terbaik bagi memberikan hukum yang tepat untuk manusia, serta mencari ilmu-ilmu yang paling bermanfaat untuk kebaikan umat.

Umat Islam adalah umat Iqra’ (إقراء) iaitu membaca bagi mendapatkan sebanyak mungkin ilmu untuk kebaikan manusia lain. Bahkan umat Islam mestilah menjadikan tahap أستاذية العالم (guru kepada dunia) sebagai matlamat sepertimana yang digagaskan oleh Imam Hassan Al-Banna melalui pengalaman sejarah gemilang Islam satu ketika dahulu yang menguasai dan menjadi guru dalam segenap cabang ilmu, sama ada ilmu agama ataupun dunia.

Umat Islam mesti menceburi bidang-bidang ilmu yang kritikal seperti sains politik, perubatan, perindustrian dan sains dengan pelbagai cabangnya dengan matlamat menjadi أستاذية العالم sepertimana nenek moyang mereka dahulu pernah mencapainya.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi mengatakan bahawa jihad ialah الحماية (perlindungan) iaitu umat Islam mesti ada kekuatan untuk mempertahankan dirinya daripada dijajah dan dikuasai musuh sama ada dari segi ketenteraan, ekonomi, teknologi, industri dan lain-lain. Ijtihad pula ialah الهداية (petunjuk) supaya setiap gerak langkah yang diambil oleh umat Islam adalah tepat dan mencapai objektif yang diharapkan.

Kesimpulannya, umat Islam mesti bangkit dan tidak membuang masa pada perkara yang sia-sia serta menceburkan diri dalam persaingan bekerja keras dan menguasai pelbagai ilmu yang mana akhir-akhir ini ia dikuasai dan didahului oleh umat-umat yang lain. Dengan kesedaran dan kesungguhan serta jihad dan ijtihad yang berterusan barulah dunia hari ini dapat diselamatkan daripada musibah yang membelenggu umat manusia.

Antara khilafah dan imarah

Kita biasa mengatakan mengenai tujuan penciptaan manusia di bumi adalah untuk menggalas tugas sebagai khalifah. Ia selari dengan firman Allah S.W.T:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

(al-Baqarah: 30)

Khalifah dalam bahasa mudahnya bererti pentadbir atau pengurus. Manusia ditugaskan untuk mengurus bumi ini sebaiknya mengikut ajaran Islam supaya terpelihara dan tidak berlaku kerosakan dalam apa jua perkara.

Namun, kita sering lupa untuk membincangkan satu lagi tujuan manusia diciptakan iaitu menggalas tugas ‘imarah’. Perkara ini dinyatakan oleh Allah di dalam firmanNya:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُّجِيبٌ

“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya.”

(Hud: 61)

Imarah dalam bahasa kita bererti memakmurkan. Mengikut istilah Bahasa Arab pula yang tepat perlu diterjemahkan sebagai membangunkan. Membangun berbeza dengan mengurus (khilafah) iaitu sudut pengurusan yang hanya memastikan perkara berjalan lancar secara rutin. Membangunkan pula bermakna membina potensi-potensi baharu bagi mencapai kemajuan.

Biasanya potensi kemajuan sesuatu negara itu dikira berasaskan pembahagian peruntukan mengurus dan membangun di dalam bajet tahunan. Sekiranya belanja pengurusan terlalu besar dan belanja pembangunan terlalu kecil, ia merupakan satu indikator yang membimbangkan bagi masa depan negara tersebut. Ini kerana belanja pengurusan tidak memberi pulangan dari sudut ekonomi. Yang terbaik adalah keseimbangan antara pengurusan dan pembangunan.

Justeru umat Islam perlu melihat peranan mereka bukan sekadar mengurus dunia ini mengikut ajaran Islam sahaja, bahkan menjadikan agama ini sebagai pemangkin pembangunan dan kemajuan. Dunia sedang mengharapkan satu sistem baharu yang boleh memulihkan kerosakan sistem Barat mahupun Timur. Umat Islam perlu membuktikan mereka mampu mengimarahkan bumi ini dengan cara yang tersendiri.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 2/7/2020