Kempen BMF diteruskan – UMMAH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Agensi-Agensi Kutipan Zakat dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri akan meneruskan siri kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF).

Kempen BMF pasca pandemik Covid-19 dijangka bermula di negeri-negeri Pantai Timur pada Oktober depan.

Sehubungan itu, Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa mengajak orang ramai khususnya umat Islam di negara ini bersama-sama untuk menjayakan kempen ini.

Advertisement

Ujarnya dengan membeli barangan dan produk keluaran bumiputera Islam pasti akan membantu menjana ekonomi umat Islam di Malaysia.

“UMMAH menyeru kepada semua pihak agar meneruskan kempen ini dengan lebih proaktif bagi memperkasakan ekonomi umat Islam di negara ini.

“Kempen BMF ini adalah agenda merentasi sempadan kaum, bangsa, parti-parti politik, NGO dan kerajaan kerana ia adalah agenda memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.

Mohd Zai menambah, kempen ini tidak akan ada titik pengakhiran kerana ianya merupakan salah satu usaha baik yang mampu membantu menperkasakan pembangunan ekonomi umat Islam di Malaysia.

“Kempen ini tidak ada noktah berhenti kerana ia adalah kunci kepada kekayaan perniagaan umat Islam yang akan memberikan sumbangan dalam bentuk zakat kepada pembangunan kemajuan masyarakat umat Islam di Malaysia,” ujarnya di dalam kenyataan media UMMAH,hari ini.

UMMAH dengan kerjasama NGO-NGO Islam telah melancarkan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) pada 2 April dan 23 Julai tahun lepas.

Ia bertujuan untuk memperkasakan pembangunan ekonomi umat Islam.

Walau bagaimanapun, kempen ini telah mendapat respons yang negatif ketika kerajaan pusat dan negeri diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan. HARAKAHDAILY 6/7/2020