Conteng mural, tindakan biadab

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan pihak yang menconteng mural wira-wira negara yang bertukus-lumus membanteras pandemik Covid-19 adalah satu perbuatan yang perlu dihukum.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata ia supaya insiden tidak beradab ini, tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Advertisement

“Mural Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan, dan lain-lain wira negara dilukis sebagai penghargaan daripada rakyat kepada mereka.

“Namun ada segelintir yang bersikap busuk hati, telah memusnahkan mural tersebut dengan menconteng kata-kata kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, DPIM menggesa seluruh rakyat Malaysia, termasuk segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab, untuk kembali menghayati budaya Malaysia, dengan berpandukan Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Kesopanan dan Kesusilaan bermaksud menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.

“Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat,” jelasnya lagi.

Menurut Shahir, tingkah laku sopan mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.

Jelasnya, prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Sekiranya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan diabaikan, maka lahirnya manusia tidak sopan dalam kalangan warganegara.

Justeru itu, DPIM menggesa pihak berkuasa mencari petualang ini agar hukuman yang setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada mereka.

“Diharapkan insiden sebegini tidak lagi berlaku kerana ia bukanlah budaya rakyat Malaysia yang terkenal dengan adab yang tinggi,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 20/7/2020