MN Wanita Bangi siap gerak agenda setempat

BANGI: Muslimat PAS Kawasan dan Wanita Umno Bahagian bagi Parlimen Bangi terus mengukuhkan hubungan kedua pihak dengan merangka gerak kerja bersama yang lebih aktif menerusi pembentukan Muafakat Nasional (MN) Wanita Bangi.

Advertisement

Wadah tersebut terbentuk antara kedua-dua sayap PAS dan Umno ini yang merancang kesepaduan agenda dan gerakan setempat selepas pertemuan bersama dilangsungkan di Dewan Mawaddah Seksyen 7 Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Bagi merealisasikan perancangan agenda tersebut serta memastikan kelicinan gerak kerja Muafakat Nasional Wanita Bangi ini, kedua-dua pihak sepakat membentuk tiga jawatankuasa (JK) telah dibentuk iaitu JK Pilihan Raya, JK Program dan JK Penerangan.

Selain berfokus kepada pembentukan jawatankuasa, pertemuan kali ini juga adalah medan untuk mengenali antara satu sama lain bagi melajukan lagi gerak kerja yang akan dilakukan bersama antara dua entiti parti terbesar di Malaysia ini.

Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah dalam penegasannya mengatakan komitmen Muslimat PAS untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional di peringkat Parlimen Bangi dan membawa perubahan politik yang lebih baik.

Insya-Allah Muafakat Nasional ini menjadi lambang kesatuan ummah demi memelihara agama Allah dan kesejahteraan negara. Tautan ukhuwah yang terbina bakal merealisasikan impian untuk membina negara yang diberkati Allah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/7/2020